Showing posts with label Kenyataan Mufti. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Mufti. Show all posts

Wednesday, January 6, 2010

Isu Kalimah ALlah : Keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan 2008

Isu Kalimah الله

الإسلام يعلو ولا يعلى عليه - رواه البيهقي



Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008

Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites, Alor Star, Kedah

1) Ulasan/Hujah

  • Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverend Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.



19 orang Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysiamenghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 21 Mei 2008

  • Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.
  • Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
  • Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
  • Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
  • Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
  • Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.
  • Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.
  • Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.
  • Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.
  • Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.
  • Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

2) Keputusan

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
  2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sumber: Bahrus Shofa, AlFanshuri

Wednesday, November 18, 2009

Membataskan Sumber Hukum Rugikan Umat Islam


Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my




Perbezaan pendapat hasil kajian, penyelidikan boleh pertingkat ilmu pengetahuan ummah

TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan um

TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan umat Islam.

Katanya, perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.

"Islam sendiri membenarkan perbezaan pandangan atas perkara tertentu dan ia hendaklah dilakukan mengikut caranya. Jangan pula apabila berbeza itu kita mendabik dada mengatakan kita lebih baik dan mencemuh orang lain.

"Dalam bab hukum ini, jika hendak faham belajarlah usul fiqh," katanya pada seminar dakwah Memperkukuhkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Semasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.



Hashim berkata, dalam masalah cabang yang menjadi amalan umat Islam ada yang tidak mempunyai dalil khusus tetapi hujah berpandukan kepada dalil umum yang dikembangkan dan disusun dengan sempurna oleh ulama nusantara.

Antaranya, amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.

Mengenai susunan zikir pula, Hashim berkata, ia adalah ijtihad ulama yang menyusunnya dengan tujuan memudahkan masyarakat umum yang mungkin tidak tahu apa hendak dibaca untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah.

Begitu juga katanya, dengan amalan lain yang dikatakan tidak dilakukan Rasulullah SAW tetapi ulama melihat akan kebaikannya untuk mengembalikan dan mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam.
"Tidak ada dalil khusus tetapi ada dalil umum, jadi jangan terkeliru kerana ini akan merugikan umat Islam. Perlu faham kenapa ada galakan membaca Yasin yang menjadi amalan sejak dulu, kerana ketika Islam mula datang tidak ramai boleh membaca al-Quran.


"Jadi ulama kata, mari kita berkumpul dan baca ayat al-Quran iaitu surah Yasin. Jika dihalang, apa yang hendak dibaca jika yang dia tahu hanya surah Yasin. Sekurang-kurangnya ada ayat al-Quran yang dia boleh baca dan janganlah kata amalan itu bidaah," katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan berkaitan perkara cabang dalam amalan agama jika dijadikan bahan untuk diperbahaskan hingga kiamat tidak akan selesai dan sebaiknya tenaga itu sepatutnya ditumpukan ke arah membanteras kemungkaran yang lebih jelas.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata gerakan aliran tidak bermazhab sudah bertapak di negara ini hampir satu abad tetapi tidak nampak sumbangan mereka dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat.

Katanya, disebabkan tiada hasil karya ilmu berwibawa dan muktabar daripada golongan aliran tidak bermazhab menyebabkan ia tidak dapat diterima dalam arus perdana sama ada pada peringkat pemerintah atau masyarakat.

"Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas kuasa yang kuat dari sudut keilmuan atau tidak cukup wibawa ulamanya jika dibanding dengan ulama beraliran mazhab serta karya mereka.

"Malah, aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam masyarakat. Arab Saudi masih bermazhab Hambali, Turki dan Pakistan bermazhab Hanafi sementara Libya dan Tunisia bermazhab Maliki," katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pengaruh Fiqh Mazhab Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini' menjelaskan cabaran berlaku terhadap mazhab Syafie melalui tiga gelombang.

Gelombang pertama berlaku pada 20-an dan 30-an apabila golongan muda cuba mengemukakan idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi, Mesir dan India kerana terpengaruh pemikiran gerakan Islam di sana.

Usaha itu kemudian disambung gelombang kedua yang berlaku antara 1940-an dan 1960-an yang banyak menumpukan persoalan khilafiyyah lebih khusus hingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam tetapi ulama akhirnya sepakat bersetuju dengan pendirian ulama aliran mazhab Syafie.

Gelombang ketiga berlaku dari 70-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.

"Golongan ini tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana mazhab muktabar yang diiktiraf dunia Islam dan mazhab Syafie di negara ini. Mereka anggap mereka layak berijtihad mutlak seperti imam muktabar kerana mereka adalah manusia dan tiada bezanya.

"Bagi orang yang mengkaji ilmu mengetahui ulama muktabar yang berijtihad lengkap dari segi ilmu asas syariah. Berijtihad tanpa ilmu yang lengkap dari sudut syariah, bahasa Arab dan kaedah usul fiqh boleh membawa kepada penyelewengan.

"Hal ini dapat dilihat bibitnya kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya memahami al-Quran dan sunnah hingga akhirnya membawa kecelaruan tafsiran sumber ajaran Islam," katanya.

Abdul Halim berkata, golongan berkenaan hakikatnya sudah melanggar adab berdakwah kerana tidak menghargai sumbangan ulama aliran mazhab Syafie, malah memperkecil serta memperlekehkan sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat.

Katanya, golongan itu juga menganggap ulama aliran mazhab Syafie membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu mereka tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta atau disebut bertaqlid buta.

- Berita Harian 17 November 2009

Tuesday, November 10, 2009

Jangan Lupa! Dr Asri Pun Pernah Menghalang Ulamak Dari Memberi Ceramah Di Perlis.

Saya membaca tulisan penuh emosi dari Dr Asri melalui wawancara beliau di dalam Harian Kosmo. Beliau menyatakan begini :

“Soal tauliah sepatutnya tidak timbul. Bagi saya ia adalah perkara yang pelik. Saya adalah seorang bekas mutfi, saya juga mempunyai kelulusan dalam bidang pengajian agama Islam, malah saya turut mengajar pelajar-pelajar sarjana dan kedoktoran di universiti awam, tiba-tiba saya dikatakan tidak ada tauliah. Adakah saya, seorang ahli akademik dan bekas mufti perlu minta sedekah untuk tauliah ini?

“Kalau saya pohon tauliah sekalipun, adakah JAIS akan menganugerahkannya kepada saya, sedangkan sewaktu saya bergelar Mufti Pelis, saya adalah satu-satunya mutfi yang tidak dibenar memberi ceramah, kuliah dan mengajar di Selangor.

Sudah dinyatakan, di dalam mana-mana negeri pun ada pentauliahan untuk mengajar. Sekiranya Dr Asri tidak bermasalah dalam mengajar dan memberi kuliah, sudah tentu pihak Jabatan Agama Islam Negeri pun akan membenarkan dengan mudah dan tidak ragu-ragu untuk memberi keizinan di mana-mana sahaja untuk mengajar. Namun nampaknya Mufti Pahang pun tidak membenarkan Dr Asri untuk mengajar di sana kerana didapati membawa fahaman yang mengelirukan. Cuba lihat kenyataan Mufti Pahang mengenainya :

Dr Mohd Asri didakwa cuba mengelirukan masyarakat Islam melalui pertikaian mengenai amalan-amalan sunat yang dilakukan umat Islam sebelum ini, di dalam ceramah yang disampaikan.

Pahang sudah menyedari perkara berkenaan dan tahun lalu, Jaip tidak membenarkan tokoh ulama (Dr Mohd Asri) itu mengadakan ceramah, di sini atas dasar itu.

“Kita tidak mahu masyarakat terkeliru dengan ceramah yang disampaikan mengenai amalan-amalan sunat yang sering dilakukan sebelum ini dan beliau seharusnya menghormati amalan yang diamalkan setiap negeri,”





Jika seorang mufti yang bercakap tentunya kita akan mempertikaikan, tetapi Mufti Johor juga bersetuju dalam soal pentauliahan seolah-olah dapat 'menghidu' ada fahaman lain yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan umat Islam yang hendak dikembangkan :

Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin menegaskan, setiap penceramah agama perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk menyampaikan ceramah di negeri ini.

Beliau berkata, ia adalah peraturan yang wajib dipatuhi bagi memastikan ceramah yang disampaikan tidak bercanggah daripada pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Selain itu, katanya, peraturan itu bukan untuk menyekat mana-mana aktiviti dakwah, sebaliknya bagi membendung sebarang usaha untuk mengembangkan fahaman Wahabi yang boleh menyebabkan perpecahan ummah.

"Sesiapa sahaja yang berceramah di Johor tidak mengira apa kedudukan atau kelulusannya maka dia mesti perlu mendapatkan kebenaran MAIJ.

"Ini penting bagi memelihara perpaduan dan ketenangan yang wajib dijaga dalam masyarakat Islam dan usaha-usaha untuk membawa kerosakan keamanan itu perlu dibanteras," katanya.




Selain itu, jangan lupa.. Dr Asri juga semasa menjadi Mufti Perlis pernah menghalang seorang ulamak besar bermazhab Syafie dari Indonesia untuk menyampaikan ilmu kepada rakyat Negeri Perlis.

Di sini saya sertakan catatan perjalanan dakwah Habib Munzir Al Musawa pada bulan November 2007 :

Perlis
Perlis adalah salah satu wilayah gerakan wahabi terbesar di Malaysia, Mufti (ketua ulama) terpilih di wilayah tersebut adalah seorang muda yang sangat menentang salafus shalih, mencaci para wali dan memusyrikkan muslimin sebagaimana wahabi lainnya, namun ia tak ingin disebut sebagai wahabi, ia mengaku bermadzab Syafii tulen, sebagian besar masyarakat muslimin setempat adalah ahlussunnah waljamaah, namun sebagaimana di negeri kita pun demikian, bahwa muslimin muslimin tidak tanggap dalam hal hal yang berbahaya yang dapat merusak akidah muslimin.

Acara direncanakan diadakan di surau pimpinan Assyeikh Al Fadhil Adda’i ilallah Ustaz Yusaini, seorang ulama muda yang sangat gigih menentang ajaran wahabiy di Perlis, acara kami pun terdengar pada mufti, maka mufti mengeluarkan larangan dan menuduh majelis yang akan diadakan ini adalah majelis orang syiah, namun kegigihan Ustaz Yusainiy memperjelas profil kami membuat tuduhan itu tak beralasan, lalu majelis difitnah pula sebagai majelis politik, namun tuduhan itu pun berhasil disanggah oleh Ustaz Yussaine, namun ketika terlihat masyarakat muslimin menyambut hangat majelis akbar ini, maka fihak mufti mempermasalahkan izin masuk dari Imigrasi Malaysia, apakah saya mempunyai izin resmi untuk berdakwah di Malaysia dari Kerajaan Malaysia?, padahal bahwa tak pernah ada undang undang pelarangan dakwah terkecuali yang berdakwah membawa kesesatan dan menentang kerajaan Malaysia.

Akhir keputusan adalah larangan mutlak dari fihak Perlis bagi saya untuk berbicara pada acara tersebut, dan perintah penangkapan atas saya jika Ustaz Yussaine masih bersikeras mengajukan saya untuk menyampaikan taushiyah di Majelis Tablig Akbar tersebut, Maka saya berbicara dengan lembut pada Ustaz Yusainiy, saya tak risau ditangkap, karena saya akan menghubungi fihak Mabes Polri di Jakarta untuk meminta fihak Mabes Polri menjamin kebersihan dakwah saya dibawah jaminan Mabes Polri, namun tampaknya para pemuda kita disana risau dan tak ingin sesuatu menimpa saya, maka majelis dibatalkan. Hadirin berdatangan sekitar seribu personil, mereka sudah siap untuk hadir dan mendengarkan, maka ketika diumumkan dengan lugas oleh Ustaz Yussaine bahwa pembicara dilarang berbicara oleh fihak perlis, hadirin kecewa dan bubar, Jumat pagi saya menuju Kualalumpur.
- Rujukan : Majelis Rasulullah

Allahu ALlah... sebenarnya dengan kriteria apakah Dr Asri menilai keilmuan seseorang ? Pada PhDnya kah ? Atau kerana mazhabnya ? Atau kerana bekas mufti ?

Setahu saya yang faqir ini, para ulamak muktabar pun tidak perlu berbangga dengan diri mereka ada PhD, sebab ulamak muktabar seperti Imam Asy Syafie, Imam Ahmad ibnu Hambal, Imam Abu Hanafi, Imam an Nawawi, Imam Ibnu Hajar, Hujjatul Islam Imam al Ghazali dan ramai lagi walaupun telah menulis ratusan kitab dan digunapakai sehingga ratusan tahun sebagai rujukan dan pegangan tidak pernah menyatakan sebagaimana yang Dr Asri sebutkan itu.

Kerana bagi saya yang faqir ini, yang menyebabkan mereka itu dihormati, ilmu mereka didengari sehingga ke hari ini adalah disebabkan akhlak mereka, taqwa mereka kepada ALlah sehingga hadamlah ilmu itu dijadikan penghayatan untuk menuju kepadaNya.

Bukankah ALlah telah berfirman yang bererti :

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.
(Surah Faathir: Ayat 28).

Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.


(Surah al-Mujadilah: Ayat 11).


Semoga diri ini ditemukan selalu dengan orang berilmu yang tidak sombong dengan ilmunya, dan kuat taqwanya di sisi ALlah. Aminnn Ya ALlah..

Sumber : Http://Jomfaham.Blogspot.Com

Monday, November 9, 2009

Fahaman Wahhabi Ditolak Di Johor

Penceramah agama di Johor perlu kebenaran MAIJ

JOHOR BAHRU 8 Nov. - Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin menegaskan, setiap penceramah agama perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk menyampaikan ceramah di negeri ini.

Beliau berkata, ia adalah peraturan yang wajib dipatuhi bagi memastikan ceramah yang disampaikan tidak bercanggah daripada pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Selain itu, katanya, peraturan itu bukan untuk menyekat mana-mana aktiviti dakwah, sebaliknya bagi membendung sebarang usaha untuk mengembangkan fahaman Wahabi yang boleh menyebabkan perpecahan ummah.

"Sesiapa sahaja yang berceramah di Johor tidak mengira apa kedudukan atau kelulusannya maka dia mesti perlu mendapatkan kebenaran MAIJ.

"Ini penting bagi memelihara perpaduan dan ketenangan yang wajib dijaga dalam masyarakat Islam dan usaha-usaha untuk membawa kerosakan keamanan itu perlu dibanteras," katanya.
Beliau mengulas kenyataan pihak tertentu semalam yang menyatakan para penceramah agama sama ada penduduk tempatan atau orang luar tidak perlu mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa jika mahu menyampaikan ceramah di negeri ini.

Tahrir berkata, usaha-usaha mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini perlu ditolak dan dibendung kerana ia akan menyebabkan perbalahan ummah kecuali di satu negeri.

"Kita tidak menyalahkan dia (fahaman Wahabi) tetapi ia hanya sesuai di negeri tertentu begitu juga fahaman Syiah sesuai di negara tertentu.

"Rantau ini sesuai dengan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah bermazhab yang selama ini kita amalkan maka sesiapa tak perlu kacau," tegasnya.

Beliau berkata, pegangan Al Sunah bermazhab Syafie selama ini berjaya membawa kepada suasana tenang, hormat-menghormati dalam soal hukum fiqah, manakala dalam soal tauhid, ia dipelopori Abu Hassan al-Asy'ari dan Abu Mansur al-Maturidi yang memberi impak besar kepada masyarakat Islam negara ini.
"Ini khususnya meletakkan keagungan dan kemuliaan Allah SWT yang langsung tidak serupa dan setanding dengan makhluk berpandukan kepada firman Allah yang bermaksud, Tiada Allah itu mempunyai persamaan sedikit pun dengan makhluk," katanya.

Justeru, tegas Tahrir, fahaman Wahabi yang menjisimkan Allah SWT adalah ditolak.

Selain itu, dalam hubungan sosial, jika fahaman Wahabi dikembangkan, tegas beliau, akan menimbulkan perselisihan di kalangan anggota masyarakat termasuk pergaduhan sesama ahli keluarga.

Tahrir berkata, Wahabi antaranya mencerca amalan membaca surah Yasin, tahlil dan talkin yang dikatakan bidaah, maka keadaan itu akan mengelirukan umat Islam.

Justeru, Tahrir berkata, umat Islam diingatkan supaya berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini.

"Saluran pendidikan merupakan saluran penting untuk diperkasakan agar umat Islam terus berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah yang membawa kepada suasana damai dan aman di negara ini," katanya.