Monday, November 9, 2009

Mengapa Fahaman Wahhabi Ditolak ?

Saya tertarik dengan Artikel Pandangan Rasmi Jakim Mengenai Wahhabiyyah. Mereka yang Pro Wahhabi akan menggunakan hujjah dari JAKIM untuk menyatakan Wahhabi boleh diajar dan disebarkan di Malaysia atas alasan TIDAK SESAT. Namun mereka yang Pro Wahhabi ini lupa tentang perkataan ini :


 Pada asasnya kerajaan menolak kehadiran fahaman Wahhabiyyah atas dasar ia boleh menimbulkan kekecohan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Ia sepertimana yang telah diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003.

Kesemua keputusan perbincangan adalah menjurus kepada menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.Memang tidak dinafikan fahaman Wahhabi inilah yang telah menimbulkan pecah belah di Malaysia bahkan di seluruh dunia, menghukum sesat majoriti ulamak dan umat Islam. Benarlah seperti yang disebutkan oleh ulamak :
Sesungguhnya benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh ahli hikmah bahawa penawar boleh menjadi racun jika disalahgunakan atau jatuh ke tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya. Demikianlah halnya apa yang berlaku ada hadith yang menyeru berpegang dengan Sunnah dan menjauhkan Bid'ah.

Pada Hakikatnya bertujuan memelihara kemurnian ajaran Islam dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Namun terdapat pihak yang mengunakannya untuk membid'ahkan amalan sebahagian besar umat Islam yang sebahagiannya merupakan pendapat Jumhur Ulama dan yang lainnya adalah masalah khilafiyyah di kalangan para Fuqaha'. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan fitnah di kalangan masyarakat Islam di mana sahaja penyakit ini merebak.

Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika menggambarkan kesan yang ditinggalkan oleh kegiatan golongan ini terhadap keharmonian masyarakat Islam di Mesir dalam bukunya "al-Salafiyyah al-Mu'assarah" menulis :



"Kita sekarang berhadapan dengan satu gelombang taufan melanda secara membuta tuli, dengan pelbagai dakwaan dan dakyah yang memaklumkan sebahagian besar umat Islam terkeluar daripada agama ALlah... kerana mereka tidak mengikut dan berpegang dengan pendapat yang dipegang oleh golongan berkenaan... hingga memporak perandakan keluarga.. anak menuduh bapanya kufur dan syirik, anak perempuan menderhaka kepada bapa dan menganggapnya ahli bid'ah dan fasik. Ada juga berlaku wanita kahwin dengan lelaki lain tanpa penceraian yang sah dengan suaminya berasaskan anggapan bahawa perkahwinan dengan suami pertamanya tidak sah kerana dia seorang yang kafir..."

Demikian besarnya fitnah yang ditimbulkan oleh penyalah gunaan tafsir nas-nas syarak tanpa berpandukan huraian oleh ulama muktabar. Hal ini memang telah diberikan peringatan oleh RasuluLlah s.a.w dalam sebuat hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya:

"Sesiapa yang mentafsir al Quran tanpa ilmu maka bersedialah menduduki tempatnya di dalam neraka."

 Ia turut diakui oleh Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali yang pernah menjawat sebagai Ketua Lembaga Pengawasan Da'wah di Dubai. Iaitu golongan yang suka menggunakan nama seperti Firqotun Najiah, Muwahhidun, Salafi ini telah menghukum kafir kepada penduduk di Abu Dhabi dan Dubai hanya kerana mereka bermazhab Maliki dan mengikut aliran Asya'iroh sehingga beliau telah menulis sebuah buku yang menerangkan pengkafiran yang telah dilakukan oleh golongan ini terhadap umat Islam beserta bukti-buktinya. 

Contoh pengkafiran yang telah dilakukan oleh golongan Wahhabi Salafi ini ialah :
1. Dalam Mukhtashar Muslim lil Hafiz al Munziri ketika berkomentar hadith no 2060 tentang turunnya al Masih alaihis salam di akhir zaman. Sheikh Albani berkata :
"Ini jelas menunjukkan bahawa Isa 'alaihissalam akan berhukum dengan syari'at kita dan memberi keputusan dengan al Quran dan Sunnah, bukan dengan selain keduanya iaitu Injil atau Fiqh Hanafi atau yang seumpamanya".


Pernyataan Albani ini telah dibidas oleh Dekan Fakulti Usuluddin Universiti al Imam Muhammad bin Su'ud al Islamiyah Riyadh iaitu Dr Ibrahim al Manshuri di Akhbar Harian 'Ukkaz dalam tiga makalah yang ditampilkan bersiri. Beliau berkata :

"Bagaimana anda menyamakan mazhab-mazhab dengan Injil yang sudah tidak asli dalam hal kebatilan? Dan bagaimana pula anda menggolongkan para pengikut mazhab yang empat berada dalam kesesatan seperti Yahudi dan Nasrani dan bahawa semua itu adalah pengikut kebatilan sebagaimana sangkaan anda?
*Sheikh Albani menyamakan Fiqh Hanafi yang dalil dan hujjahnya adalah dari Al Quran dan Sunnah dengan Injil yang terang jelas sudah terpesong.

2. Di dalam Akhbar al Muslimin ad Dauliyah : apabila ditanya tentang 2 imam besar iaitu Imam An Nawawi dan Ibnu Hajar (semoga keduanya dirahmati ALlah) :

"Sesungguhnya kedua Imam itu memiliki aqidah yang rosak dan melakukan penyimpangan (tahrif) dalam beberapa masalah I'tiqad".


3. Safar al Hawali dalam risalahnya bertajuk Minhaj al Asya'iroh fil Aqidah hal 28 :

"Seandainya dikatakan bahawa al Hafizh Ibnu Hajar adalah orang yang tidak menentu aqidahnya nescaya ia lebih mendekati kebenaran".
 Antara bukti golongan wahhabi salafi ini menghukum sesat kepada ulamak Islam dan jemaah Islam yang boleh dibaca secara langsung dari laman web :

1. Menghukum sesat kepada Prof Dr Yusof al Qardhawi, Imam Hassan al Banna, dan Jemaah Ikhwan Muslimin :
 http://salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=630

 2. Menghukum sesat kepada Imam Hasan al Banna :
 http://www.salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=375

 3. Menghukum sesat kepada golongan Asya'iroh :
http://www.salafy.or.id/salafy.php?menu=detil&id_artikel=715 

Dan banyak lagi contoh-contoh hukuman sesat, kafir dan syirik tanpa hak yang dilakukan oleh golongan yang melampau ini.  

 Sumber :
1. Kata Pengantar Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Wan Zahidi Bin Wan Teh, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, al-Sheikh al-Hafiz al-Fadl Abu Al Fadl AbduLLah al-Siddiq al-Ghumari, Middle East Global ,2003, Selangor
2. Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali, Al Firqah An Najiah Hia Al Ummatul Islamiyyah Kulluha

Bekas Mufti MUNGKIR JANJI

Kepada Dr Asri : Apa hukum di dalam Islam memungkiri janji ?


Bekas Mufti MUNGKIR JANJI

Nov 7th, 2009 | By webmaster | Category: Berita, Utama

PGSM kesal bekas mufti mungkir janji

Berita Harian 7 November 2009

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal atas tindakan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikatakan memungkiri janji selepas membuat kenyataan media berhubung pertemuan antara kedua-dua pihak, kelmarin.

Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata dalam pertemuan yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz di ibu negara itu, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan konflik bagi kepentingan umat Islam dan tidak membuat kenyataan media bagi mengelakkan kekeliruan.


“Kami kesal dengan tindakan Mohd Asri mungkir janji dengan memberi kenyataan kepada media berhubung pertemuan itu dan ia jelas tidak menghormati menteri sebagai orang tengah.



“Kami juga kesal perbincangan yang dibuat secara tertutup itu boleh didedahkan kepada media termasuk penyiaran gambar daripada sumber pihak yang tidak bertanggungjawab, ” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan pada sidang media di bangunan Sekretariat PGSM di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan kenyataan Mohd Asri bahawa PGSM memohon maaf dan menarik balik tuduhan negatif yang dilemparkan terhadapnya.

Beliau juga menuntut PGSM melakukan permohonan maaf itu secara terbuka.

Sementara itu, Mohamad Isa berkata, pihaknya tetap mempertahankan kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong yang turut ditandatangani 13 NGO Islam berhubung bantahan terhadap penawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada Mohd Asri.

Mereka Tidak Mahu Digelar Wahhabi

Lalu mereka menamakan diri sebagai Intelektual Muslim, ataupun Salafi, ataupun Muwahhidun, ataupun firqatun najiyah, ataupun 'mazhab syafie tulen', ataupun gerakan tajdid, ataupun bahtera perubahan dan sebagainya. Kerana mereka 'memisterikan apa itu wahhabi'.


Tetapi ciri-ciri mereka tetap sama iaitu :

Dari Sudut AQIDAH:

01. Gemar membahagikan-bahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan al-Asma Wa al-Sifat lantas menyamakan umat Islam kini dengan musyrikin Mekah.

02. Menyesatkan manhaj Asyairah dan Maturidiyah yang merupakan dua komponen utama dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

03. Kritikal terhadap sisitem pengajian Sifat 20.

04. Gemar membahaskan ayat-ayat mutasyabihat dan membahaskan perihal istiwa Allah Taala, tangan Allah Taala, di mana Allah Taala dan lain-lain ayat mutasyabihat lagi lantas memahami ayat-ayat itu dengan zahir ayat dan mencerca mereka yang mantakwil ayat-ayat ini. Akhirnya mereka secara tidak sedar termasuk di dalam golongan Mujassimah dan Musyabbihat.

05. Sering meletakkan isu-isu fiqh dalam bab aqidah, seperti tawasul dan istighatsah lantas mensyirikkan dan mengkafirkan amalan-amalan yang tidak sehaluan dengan mereka. Juga mensyirikkan amalan yang tidak dipersetujui contohnya mambaca salawat syifa dan tafrijiah dll.

06. Mudah melafazkan kalimah syirik dan kufur terhadap amalan yang mereka tidak persetujui (Khawarij Moden).

07. Amat kritikal terhadap tasawuf serta tarikat dan mengatakan bahawa tasawuf dan tarikat diambil daripada ajaran falsafah Yunan, agama Buddha dan dll.

Dari Sudut FIQH:

01. Kritikal terhadap mazhab-mazhab fiqh dan menganggap sesiapa yang berpegang kepada satu mazhab adalah taksub dan jumud. Mereka akan menyarankan mengikut fiqh campuran atas corak pemahaman mereka dan menamakannya sebagai Fiqh Sunnah.

02. Membahagikan manusia kepada tiga golongan iaitu mujtahid, muttabi dan muqallid dan mencerca golongan muqallid. Bagi mereka hanya menyeru kepada mengikut seorang alim atau imam itu hanyalah dengan dalil walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil tersebut.

03. Gemar membangkitkan isu-isu furuk yang sudah lama diperbahaskan oleh para ulama terdahulu seperti isu tahlil, talqin, qunut subuh, zikir berjamaah, zikir dengan bilangan tertentu, lafaz niat solat, ziarah makam para nabi dan ulama, sambutan maulidur rasul dll.

04. Perkataan bidaah sentiasa diulang-ulang pada perbuatan yang mereka tidak setuju. Bidaah di dalam agama bagi mereka hanyalah sesat dan akan menjerumuskan pembuatnya ke dalam neraka. Kata-kata Imam Syatibi pada pembahagian bidaah akan mereka ulang-ulangi. Menurut fahaman mereka pembahagian ulama lain pada bidaah hanyalah bidaah dari sudut bahasa.

05 Secara umumnya mengaitkan amalan-amalan tertentu kononnya sebagai rekaan dengan hawa nafsu atau kejahilan para ulama terdahulu manakala di Malaysia cuba mengaitkan amalan yang mereka tidak persetujui hanyalah rekaan para ulama Nusantara.

06. Hanya berpegang kepada suatu pendapat dalam hukum hakam fiqh jika mempunyai dalil yang zahir dan amat gemar meminta dalil dari al-Quran dan al-Hadis seolah-olah mereka dapat membuat perbandingan sendiri kuat lemahnya sesuatu pendapat berdasarka dalil yang dijumpai.

Dari Sudut MANHAJ:

01. Berlebih-lebihan pada mengkritik mereka yang tidak sehaluan dengan mereka baik ulama terdahulu mahupun sekarang.

02. Menganggap bahawa hanya mereka sahajalah yang benar dan merekalah sahajalah pembawa manhaj salaf yang sebenar.

03. Bersikap keras kepala dan enggan menerima kebenaran walaupun dibentangkan beribu-ribu hujjah. Bagi golongan ini dalil mereka yang menentang mereka semuanya lemah atau telah dijawab.

04. Amat gemar berdebat walau di kalangan masyarakat awam.

05. Terlalu fanatik kepada fahaman dan tokoh-tokoh yang mereka diiktiraf mereka seperti Muhammad Abdul Wahab, Abdul Aziz bin Baz, Nasir al-Albani, Muhammad Soleh al-Utsaimin, Soleh Fauzan dll.

06. Mudah mengatakan bahawa ulama terdahulu sebagai silap ataupun sesat dll.

07. Mendakwa mereka mengikut manhaj salafi pada urusan aqidah dan fiqh walaupun hakikatnya mereka amat jauh sekali dan tidak memahaminya.

08. Cuba untuk menyatukan semua pihak atas fahaman mereka lantas menyebabkan perpecahan umat.

09. Sebahagian mereka juga bersikap lemah lembut pada kuffar dan berkeras pada umat Islam.

10. Menyesatkan dan memfasiqkan sesiapa yang bercanggah dengan mereka serta melebelkan dengan pelbagai gelaran.

11. Seolah-olah menyamatarafkan hadis dhoif dengan hadis maudhuk lantas mendakwa mereka hanya mengikut hadis yang sahih selain kritikal terhadap penerimaan riwayat dan taasub dengan penerimaan atau penolakan Nasir al-Albani semata-mata.

12. Membuat khianat ilmiah samada pada penulisan atau pada pantahqiqan kitab-kitab lama terutamanya.

Fahaman ini lebih layak digelarkan : Fahaman pecah belah umat Islam.

Fahaman Wahhabi Ditolak Di Johor

Penceramah agama di Johor perlu kebenaran MAIJ

JOHOR BAHRU 8 Nov. - Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin menegaskan, setiap penceramah agama perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk menyampaikan ceramah di negeri ini.

Beliau berkata, ia adalah peraturan yang wajib dipatuhi bagi memastikan ceramah yang disampaikan tidak bercanggah daripada pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Selain itu, katanya, peraturan itu bukan untuk menyekat mana-mana aktiviti dakwah, sebaliknya bagi membendung sebarang usaha untuk mengembangkan fahaman Wahabi yang boleh menyebabkan perpecahan ummah.

"Sesiapa sahaja yang berceramah di Johor tidak mengira apa kedudukan atau kelulusannya maka dia mesti perlu mendapatkan kebenaran MAIJ.

"Ini penting bagi memelihara perpaduan dan ketenangan yang wajib dijaga dalam masyarakat Islam dan usaha-usaha untuk membawa kerosakan keamanan itu perlu dibanteras," katanya.
Beliau mengulas kenyataan pihak tertentu semalam yang menyatakan para penceramah agama sama ada penduduk tempatan atau orang luar tidak perlu mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa jika mahu menyampaikan ceramah di negeri ini.

Tahrir berkata, usaha-usaha mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini perlu ditolak dan dibendung kerana ia akan menyebabkan perbalahan ummah kecuali di satu negeri.

"Kita tidak menyalahkan dia (fahaman Wahabi) tetapi ia hanya sesuai di negeri tertentu begitu juga fahaman Syiah sesuai di negara tertentu.

"Rantau ini sesuai dengan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah bermazhab yang selama ini kita amalkan maka sesiapa tak perlu kacau," tegasnya.

Beliau berkata, pegangan Al Sunah bermazhab Syafie selama ini berjaya membawa kepada suasana tenang, hormat-menghormati dalam soal hukum fiqah, manakala dalam soal tauhid, ia dipelopori Abu Hassan al-Asy'ari dan Abu Mansur al-Maturidi yang memberi impak besar kepada masyarakat Islam negara ini.
"Ini khususnya meletakkan keagungan dan kemuliaan Allah SWT yang langsung tidak serupa dan setanding dengan makhluk berpandukan kepada firman Allah yang bermaksud, Tiada Allah itu mempunyai persamaan sedikit pun dengan makhluk," katanya.

Justeru, tegas Tahrir, fahaman Wahabi yang menjisimkan Allah SWT adalah ditolak.

Selain itu, dalam hubungan sosial, jika fahaman Wahabi dikembangkan, tegas beliau, akan menimbulkan perselisihan di kalangan anggota masyarakat termasuk pergaduhan sesama ahli keluarga.

Tahrir berkata, Wahabi antaranya mencerca amalan membaca surah Yasin, tahlil dan talkin yang dikatakan bidaah, maka keadaan itu akan mengelirukan umat Islam.

Justeru, Tahrir berkata, umat Islam diingatkan supaya berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini.

"Saluran pendidikan merupakan saluran penting untuk diperkasakan agar umat Islam terus berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah yang membawa kepada suasana damai dan aman di negara ini," katanya.