Friday, August 26, 2011

Jika Dengan Orang Bukan Islam Anda Dapat Bertoleransi, Mengapa Dengan Saudara SeIslam Anda Musuhi ?

Dalam kehangatan dakwaan berlaku usaha memurtadkan umat Islam oleh penganut agama lain, sebuah NGO Perlis mengambil pendekatan menganjurkan majlis berbuka puasa dan makan malam melibatkan semua wakil komuniti agama di negeri itu.

Menurut Persatuan Al-Islah Perlis, program sebegitu perlu diperbanyak untuk memupuk keharmonian penganut pelbagai agama, sekali gus meminumumkan konflik dan prasangka sesama.

Dalam majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Mufti negeri itu, selain dihadiri mufti Dr Juanda Jaya, sekurang-kurangnya 10 wakil agama daripada gereja, wat Siam, kuil Hindu dan Buddha terlibat.

Majlis tersebut diadakan di pusat pengajian persatuan itu di Perlis di Mata Ayer, Perlis petang semalam.

"Sebagai umat Islam yang berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis, Persatuan Al-Islah terpanggil untuk menganjur majlis ini dalam usaha mempromosikan dialog antara pelbagai agama dan budaya.

"Mengambil semangat bulan Ramadan, matlamat majlis ini adalah mengukuhkan kedamaian dan keharmonian di negeri Perlis," kata NGO itu dalam kenyataannya lewat malam tadi.

Paderi: Hargai persabahatan
Ketika orang Islam berbuka puasa, hadirin non-muslim diraikan dengan hidangan makan malam meliputi 15 jenis makanan, termasuk hidangan vegetarian bagi menghormati penganut agama tertentu yang tidak memakan daging.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Sementara itu, Dr Juanda (kiri) yang juga penasihat persatuan itu dalam ucapannya menegaskan penganjurkan majlis itu tidak ada niat tersembunyi selain untuk "membentuk perpaduan dan menghilangkan syak.”

"Tidak ada paksaan dalam agama maka Islam menghormati hak agama-agama yang lain. 

"Jauhi perbuatan menghina agama lain. Jangan menyentuh sensitiviti agama lain yang dijamin oleh perlembagaan,” katanya.

Sementara itu program tersebut disambut baik wakil pelbagai agama yang hadir.

"Lain kali, saya akan datang lagi berbuka puasa dengan anda sekalian. Saya hargai persahabatan yang ditawarkan dengan mengundang saya," kata paderi Lim Wai Ming dari Gereja Kayangan.

Wakil kuil Arulmigu Arumugasmawy Devasthanam Kangar P Narayanasamy berkata dengan kahadiran itu mereka kini dapat memahami bagaimana orang Islam berbuka dan menghormati Ramadan.




Admin : Jika dengan sesama orang bukan Islam Dr Juanda boleh bertoleransi, kami Umat Islam amat berharap menerima juga pandangan mazhab yang lain (ini saudara anda yang seISLAM yang mengucap La ilaha illaLlah) untuk membaca doa qunut, berzikir beramai-ramai selepas solat di masjid-masjid, surau di negeri Perlis.

Jangan lupa Doktor... Orang miskin di Perlis silalah dibela, ajak sekali mereka iftar bersama-sama. Jangan dinafikan zakat yang berhak mereka terima.