Wednesday, June 30, 2010

Hati-hati Bila 'Ulama Muda' Wahhabi Masuk UMNO Untuk 'Berdakwah'

Isu Wahabi

Bagi rakan kepada Mohd Hosni yang turut ke pejabat Harakahdaily, Mohd Khairul Hafis Salihin, 27 tahun, (gambar) beliau seakan bersetuju dengan satu analisis yang dibuat oleh satu laman web berkaitan motif sebenar mereka yang menyertai Umno ini.

"Bagi saya mereka hendak menyertai Umno tidak salah walaupun saya nampak ia ada kepentingan sendiri tetapi memperdaya dan menyalahgunakan orang satu yang tidak baik," kata Mohd Khairul.

Bagi beliau, teori golongan Wahabi di negara ini mahu menyertai Umno untuk mengelakkan tekanan ke atas mereka ada kebenarannya.

"Saya kenal Fathul Bari, anak kepada Ustaz Mat Jahaya ini pada tahun 2002 lagi ketika saya menyertai satu kursus bahasa Arab di Bagan Lalang yang dianjurkan oleh kerajaan Arab Saudi dengan kerjasama pelajar dari Madinah ini. Fathul ini salah seorang pengajarnya kerana ketika itu dia sedang pulang bercuti," kata Mohd Khairul.

Menurut Khairul, dia datang lambat untuk mendaftar kursus itu dan ketika itu peserta dan jurulatih sedang sembahyang subuh berjamaah.

Oleh kerana lewat, beliau hanya mengikut mereka sembahyang separuh sahaja dan menyambung dengan rakaat kedua dan membaca qunut.

"Selepas sembahyang, Fathul Bari ini telah 'tashkil' (syarah) saya hampir setengah jam soal baca qunut ini bidaah," cerita Mohd Khairul.

Sejak itulah beliau kenal Fathul sebagai pembawa ajaran Wahabi ke negara ini. Antara cirinya adalah, kumpulan ini berpendapat, bacaan doa qunut dalam solat subuh, talqin dan tahlil itu bidaah dan salah.
Isu ini hanya soal cabang sahaja di dalam Islam tetapi kebanyakan jabatan agama (kecuali Perlis) menganggap ia boleh memecahkan umat Islam dan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

"Sebab itu saya tidak terkejut beliau ditahan oleh jabatan agama di Negeri Sembilan dan tidak dibenarkan mengajar di Selangor kerana isu ini," kata beliau.

Jadi, beliau mengesyaki, agenda mereka menyertai Umno adalah untuk mengelakkan tindakan di ambil ke atas mereka atau sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan jabatan-jabatan agama kepada mereka.