Wednesday, December 22, 2010

KOMEN DR ASMADI: TIADA NAS LARANG NON-MUSLIM JADI PEGUAM SYAR'IE? ATAU DR JUANDA TAK JUMPA ‘NAS’?

KOMEN DR ASMADI: TIADA NAS LARANG NON-MUSLIM JADI PEGUAM SYAR'IE? ATAU DR JUANDA TAK JUMPA ‘NAS’?

Tiada nas atau Dr Juanda tidak menjumpai nasnnya? Atau Dr Juanda tidak menjumpai syarahan ulama silam terhadap dalil-dalil yang berkaitan isu ini? Saya coretkan ulasan saya terhadap pandangannya dalam tulisan berwarna kuning. Selamat membaca. Artikel aslinya ada di website di bawah. http://malaysiakini.com/news/151256



TIADA NAS LARANG NON-MUSLIM JADI PEGUAM SYARIE
Dr Juanda Jaya

Saya ingin mengulas isu ini bagi memenuhi amanah ilmiah dan ketelusan dalam menjelaskan fakta sebenar yang saya ketahui. Ia bukan bertujuan subjudis, tetapi lebih kepada penjelasan fakta ilmiah dan keadaan yang berlaku yang saya turut hadir.

Saya hadir Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-92 di Melaka baru-baru ini. Apa yang saya ketahui bukan semua ahli bersetuju untuk menyatakan secara tuntas agar non-Muslim dihalang daripada menjadi peguam syarie.

Jelasnya, dakwaan bahawa Muzakarah Fatwa Kebangsaan mencapai keputusan sebulat suara dalam hal ini adalah tidak berlaku sama sekali.

Yang berlaku adalah sebahagian ahli muzakarah, termasuk saya, mahukan agar perkara ini diperhalusi dengan lebih mendalam menurut nas al-Quran dan al-Sunnah. Ia adalah keputusan premature (pramatang).


Saya juga mahukan agar kertas ini dihalusi di peringkat fatwa negeri-negeri. Kertas yang disediakan oleh Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) didapati tidak mantap dan tidak mempunyai asas yang kukuh daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Dalil yang digunakan adalah tidak tepat pada isunya

Kertas Panel JAKIM itu hanya menumpukan tentang nas ayat-ayat walayah (kepimpinan) yang melarang Muslim menjadikan non-Muslim sebagai wali atau pembantu dan penolong dalam urusan mereka, sedangkan saya dan beberapa ahli lain berpandangan, hal ini berkaitan soal wakalah (perwakilan), bukannya urusan walayah (kepimpinan).

Isu perwakilan, bukan kepimpinan

Kalaulah ayat walayah (kepimpinan) digunakan dalam hal ini, maka akan berlaku kacau-bilau urusan kenegaraan di Malaysia. Pemikiran ala-Taliban dan ekstrim seperti ini tidak wajar wujud di Malaysia.

(Dr Asmadi: Ini bukan teknik ilmiah dalam berhujah. Bila berlawanan pendapat, menuduh ala-Taliban dan ekstrim. Tidak sepatutnya Mufti keluarkan perkataan ini. Ini susah jadi mufti kalau tak cermat).


Akan timbul kelak persoalan, apakah sah lantikan para menteri bukan Islam bagi membantu menguruskan orang Islam, apakah sah para ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan dilantik dari kalangan non-Muslim?

Sudah tentu kekecohan akan berlaku. Dan kekecohan ini akan bermula dengan perkara kecil seperti soal wakalah non-Muslim untuk menjadi peguam bagi urusan orang Islam.


(Dr Asmadi: Dr Juanda mengkiaskan isu ini dengan suatu suasana pemerintahan yang bukan sepenuhnya mengikut kehendak Syara’ dan dalam keadaan umat Islam lemah, lalu dijadikan hujah untuk membenarkan Peguam Syar’ie, walhal kita ada kekuatan untuk mempertahankan urusan guaman Syari’ie supaya berada dalam ‘haimanah’ (penguasaan) umat Islam. Malangnya Dr Juanda menutup pemikirannya pada persoalan ini).

Bahkan menurut pandangan Mazhab al-Syafie sendiri yang menjadi mazhab rasmi Malaysia, menerusi pandangan ulama dan kitab yang sentiasa menjadi rujukan ulama di Malaysia, al-Imam al-Sharbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj menyatakan bahawa seorang lelaki Muslim boleh mewakilkan seorang kafir dalam urusan menceraikan isterinya yang Muslimah.

Hal yang sama turut disebut oleh para ulama lain seperti al-Dasuqi dari kalangan mazhab Maliki dan Ibnu Qudamah dari kalangan ulama mazhab Hanbali.

Ulama mazhab Hanafi lebih terbuka dalam hal ini. Inilah pandangan sebenar jumhur (majoriti) ulama dalam hal ini. Hanya mazhab Syiah yang tidak membenarkan.

Urusan wakalah guaman adalah termasuk urusan keduniaan sesama manusia. Sikap Islam dalam urusan sesama manusia adalah amat terbuka dan toleransi, kerana ia bukan soal akidah dan ibadah.

(Dr Asmadi: Dr Juanda lebih mengkiaskan urusan Guaman Syar’ie kepada urusan jual beli atau wakil lafaz cerai. Di atas nama urusan keduaniaan sesama manusia. Benarkah begitu? Dia terpengaruh dengan pembahagian yang selalu dia pakai: Pertambahan dalam ibadah bid’ah, sdalam kehidupan dibolehkan. Inilah bahayanya pembahagian umum sebegini. Pembahagian ulama-ulama silam bahawa bid’ah terbahagi kepada 5 hukum adalah lebih selamat yang menunjukkan bid'ah ada juga yang terlarang dalam persoalan bukan ibadah.

Hukum nikah kahwin ialah urusan sesama manusia yang ada suruhan Syarak, maka hukum asalnya ialah haram. Maka tidak boleh dikatakan ada ikatan, sehinggalah ada bukti ikatan perkahwinan berlaku, maka perlu kepada saksi Muslim. Tapi perceraian, hukum asalnya ialah dipermudahkan berdasarkan hadis, 3 perkara betul-betul padanya adalah betul, main-main melafazkannya juga dikira betul (sah). Atas alasan itu ulama membenarkan wakil orang kafir kerana Syarak melonggarkan persoalan perceraian!


Sebaliknya, persoalan kehakiman ialah persoalan urusan sesame manusia yang juga ada panduan Syarak. Namun hukum asal pada persoalan kehakiman ialah ‘tathabbut’ (mendapatkan kepastian dan keadilan), bukannya seperti ‘jual beli’ yang lebih kepada kelonggaran dan keharusan!)


Undang-undang Mesir


Oleh itu, Ibnu Qudamah dalam al-Mughni menyatakan bahawa 'ammah Ahli al-'Ilm (keseluruhan ulama) menyatakan boleh dan sah orang kafir menjadi wakil orang Islam dalam urusan sesama manusia kecuali dalam beberapa masalah wasiat dan wakaf. Hal seperti ini yang sepatutnya diperincikan.

(Dr Asmadi: Kena perincikan pandangan Ibn Qudamah ini. Dr Juanda Tidak boleh menggunakan tag ‘urusan dunia’ yang Ibn Qudamah guna tu untuk menghalalkan pandagannya)


Undang-undang mahkamah di Mesir memberikan kebenaran kepada non-Muslim menjadi wakil mereka dalam urusan guaman di mahkamah.
Pasti juga para ulama al-Azhar di sana melihat nas dan pandangan ulama yang dinyatakan tadi demi kerukunan dalam hidup bernegara di antara Muslim dan non-Muslim.

(Dr Asmadi: Sejak bila undang-undang Mesir mengikut Syarak? Yang kita tahu mereka berfahaman sosialis. Sejak bila pula ulama-ulama Azhar berperanan menggubal undang-undang Mesir? Sebab Itu al-Sanhuri boleh berhijrah ke alam Fiqh Islam menggunakan teori kehakiman sekular yang ia miliki. Kalau adapun pada masalah undang-undang keluarga).

Malaysia pernah digemparkan suatu ketika dahulu masalah perebutan jenazah yang dipertikaikan status keislamannya di Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil.

Muncul suara pada ketika itu membenarkan non-Muslim memfailkan di Mahkamah Syariah tuntutan mereka yang ingin mendapatkan jenazah saudara mereka yang didakwa sebagai masih kekal dalam agama asal mereka.

Kita menarik nafas lega dengan wujud sedikit keterbukaan mahu membenarkan non-Muslim menuntut keadilan bagi diri mereka di Mahkamah Syariah pada waktu itu. Keterbukaan seperti ini wajar dikembangkan.

Syariat Islam menawarkan keadilan kepada semua pihak. Inilah keindahan dakwah Islam yang menjanjikan rahmat untuk semua manusia dan ia bukan untuk dibolot oleh satu golongan sahaja.

(Dr Asmadi: Ya, kita setuju bahawa orang Non-Muslim boleh menuntut haknya dengan menggunakan peguam Muslim).


Sangkaan timbul hasil prejudis

Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bermuamalah (berurusniaga) dengan menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi? Bukankah Ali bin Abu Talib RA pernah bertelingkah di mahkamah kerana urusan baju besinya dengan seorang Yahudi?

Yahudi itu dibenarkan untuk membela dirinya di Mahkamah Islam pada waktu itu sehingga Ali bin Abu Talib RA kalah kepada Yahudi itu dalam soal tuntutan mereka.
Bukankah ini suatu bentuk guaman dan pembelaan diri bagi mendapatkan keadilan di mahkamah Islam yang memberikan hak kepada semua golongan?

(Dr Asmadi: Ini bukan dalil boleh melantik peguam Syar’ie di kalangan orang Non-Muslim. Sebaliknya ini adalah dalil setiap orang Non-Muslim berhak mempertahankan diri. Persoalannya, bolehkah menggunakan dalil ini untuk membenarkan perlantikan Peguam Syar’ie Non-Muslim, kemudiannya orang Islam akan melantiknya? Adakah Dr Juanda akan pasti, kita boleh juga menggubal undang-undang melarang orang Islam melantik Peguam Syar’ie yang Non-Muslim. Pasti semakin menampakkan prejudis!)


Jelasnya, tidak ada nas yang sarih (jelas) lagi sahih melarang non-Muslim menjadi peguam syarie bagi mengendalikan urusan orang Islam dan bukan Islam di mahkamah Islam. Segala sangkaan dan anggapan akan berlaku kemudaratan adalah timbul hasil sikap prejudis dan mahu menindas golongan bukan Islam.

(Dr Asmadi: Inilah masalahnya bila kita menyempitkan istinbat hukum kepada al-Quran dan sunnah, walhal ulama-ulama silam telah menggariskan banyak cara untuk mengeluarkan hukum supaya bertepatan dengan ruh Syarak. Hujjah dan dalil dlm Syariah Islam bukan hanya al-Quran & sunnah. Di situnya keperluan kembali kpd ijma', qiyas (bukan qiyas ma'a al-fariq), qaul sahabi dan lain-lain dengan juga melihat 'kesan-kesan tindakan' kpd fatwa (ma alat al-af'al).

Bila seseorang hanya mengkhususkan sumber hukum pd al-Quran & sunnah, bila tiada 'nas', mereka akan menggelabah menggunakan akal dgn alasan tiada 'nas'. Akhirnya, dlm banyak perkara kita menggunakan akal dan tidak berpegang kepada ruh Syariah. 


Sepatutnya isu-isu bidang kehakiman dikiaskan dengan isu-isu berkaitan hakim dan saksi, bukan dikiaskan dengan isu-isu jual beli. Sebab hukum asal jual beli adalah harus, tapi hukum asal dalam kehakiman adalah tathabbut (mendapatkan kepastian), hukum asal pada al-abda' (kemaluan/nikah kahwin) adalah haram).

Anggapan boleh berlaku penghinaan kepada mahkamah dan non-Muslim tidak boleh dibicarakan adalah soal teknikal yang boleh diatasi dengan pindaan perundangan, atau diletakkan syarat dalam lesen guaman, atau penghakiman penghinaan itu dialihkan ke mahkamah lain yang boleh mengendalikannya.

(Dr Asmadi: Kata-kata Dr Juanda juga prejudis iaitu “Segala sangkaan dan anggapan akan berlaku kemudaratan adalah timbul hasil sikap prejudis dan mahu menindas golongan Non-Muslim”. Agak-agak siapa nak mengambil tindakan terhadap sikap prejudis Dr Juanda terhadap keputusan fatwa ni. Ada undang-undang, tapi kekadang kita tidak mampu mengambil tindakan kesemuanya. Alangkah baik, kaedah sadd al-zari’ah digunakan).


Kalaulah sistem yang ada didapati boleh menafikan keadilan itu, maka rujuklah kepada Islam yang sebenar yang menawarkan keadilan untuk semua.
Islam tidak silap! Yang silap adalah penafsiran manusia yang tidak mahu faham dan tidak mahu berkongsi rahmat keadilan Allah SWT untuk semua manusia.

(Dr Asmadi: Kepada Dr Juanda, bila kita tidak membenarkan orang Non-Muslim menjadi Peguam Syar’ie, bukan bermaksud kita mahu menindas mereka. Keadilan mesti ditegakkan walaupun untuk orang-orang bukan Islam.

 
Alangkah baiknya sekiranya Dr Juanda dan JAKIM menghalusi persoalan ini dengan mengkiaskan dengan persoalan al-Katib (penulis perbicaraan) dan al-Mutarjim (penterjemah) dalam menentukan keperluan kepada beragama Islam. Adalah tidak sesuai mengkiaskan persoalan kehakiman ini kepada urusan jual-beli.

Saya memetik kata-kata Ibn Qudamah (sebab Dr Juanda memetik kata-katanya) mengenai al-katib: “Tidak boleh seorang bukan Islam menjadi penulis (al-Katib) di sisi Hakim kerana apa yang dibuat oleh Hakim adalah dari urusan agama, mereka (Non-Muslim) kebiasaannya mengkianati umat Islam dalam urusan agama dan membawa kefasadan, demikian juga Penulis kepada Hakim ini dimuliakan di kalangan manusia, maka kita dilarang memuliakan mereka”. Jadi, ada dua isu iaitu urusan kehakiman juga adalah urusan agama dan memuliakan mereka dengan jawatan yang mulia ini. Peguam Syar’ie kan mulia sifatnya. Tidak membenarkan mereka menjadi Penulis, bukan bererti kita mahu menzalimi mereka dalam urusan kehakiman! Masalahnya ialah Dr Juanda hanya berpegang ibadah sahaja urusan agama kerana terlalu terpengaruh dengan pembahagian bid’ah!


Lihat pula, kata-kata al-Imam Malik berkaitan dengan kelayakan Penterjemah (al-Mutarjim) dalam kitab Tabsirah al-Hukkam: Maka hendaklah menterjemahkannya seorang Muslim yang boleh dipercayai, kalau dua orang, adalah lebih baik).

Jadi, mana lebih penting atau lebih mulia antara Peguam Syar’ie dan Penterjemah pada pandangan Dr Juanda? Atau Dr Juanda samakan Peguam Syar’ie dengan wakil-wakil urusan jualbeli macam di Tesco, Giant atau syarikat MLM lain.

Wallahu Ta’ala a’lam. Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah dan taufiq sebagai pemegang amanah ilmu di bumi Allah ini. Dan semoga Allah SWT menyelamatkan umat dari kegelinciran orang-orang yang mengaku ulama).

Dr Juanda Jaya ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Beliau juga merupakan felo pelawat di Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom.

Sumber  : http://drasmadinet.blogspot.com/2010/12/komen-dr-asmadi-dr-juanda-peguam-syarie.html