Tuesday, October 26, 2010

Teguran Ke Atas Sebahagian Kekeliruan Dalam Artikel Mohd Nidzam Bin Abdul Kadir

NASIHATUL-UMMAH LI-KASHFIL-GUMMAH: SUATU TEGURAN KE ATAS SEBAHAGIAN KEKELIRUAN DALAM ARTIKEL MOHD. NIDZAM BIN ABDUL KADIR...

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله الذي لا إله إلا هو رب العالمين
والصلاة والسلام على سيدنا محمد الأمين
وعلى ءاله وأصحابه أنصار الدين
ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ولا شبيه ولا نظير ولا مثيل له
وأشهد أن محمداً عبده ورسوله وحبيبه وخليله
أمّا بعد

SUATU TEGURAN KE ATAS SEBAHAGIAN KEKELIRUAN DALAM ARTIKEL MOHD. NIDZAM BIN ABDUL KADIR DI KOLUM TAUHID DALAM MAJALAH SOLUSI, ISU NO. 14, YANG BERJUDUL “TANGAN” DAN “WAJAH” ALLAH: ANTARA SALAF DENGAN KHALAF
1. Dengan rendah diri teguran ini didahulukan dengan permohonan maaf sekiranya menyinggung perasaan penulis artikel tersebut, dan dengan doa semoga kita sama-sama berada di dalam petunjuk Allah taala. Tulisan ini diterbitkan di blog ini mengandungi teguran di atas artikel Mohd. Nidzam bin Abdul Kadir dalam kolum Tauhid yang bertajuk “Tangan” dan “Wajah” Allah: Antara Salaf dan Khalafdalam majalah Solusi (Isu no. 14) di halaman 97 – 98 yang mula diedar pada bulan Disember 2009.

2. Dengan tegasnya, teguran ini diajukan adalah semata-mata demi menjunjung perintah Allah agar melaksanakan al-amr bil-ma^ruf wan-nahy ^anil-munkar, dan mengelak diri dari menjadi syaitan bisu. Saya tidak ada sebarang kepentingan peribadi dalam teguran saya ini, bahkan demi kepentingan kesucian agama kita Islam yang tercinta.

3. Saya terdorong untuk membuat teguran secara terbuka ini setelah Mohd Nidzam tetap mengulangi kesilapan dan kekeliruan yang sama di TV9 dalam rancangan Tanyalah Ustaz pada 28 Mac 2010 (Ahad)selepas saya membuat teguran secara tertutup melalui email sebelum itu dengan harapan beliau membuat pembetulan.

4. Antara kekeliruan dan kesilapan beliau yang telah disebarkan di media massa ialah beliau berserah kepada makna zahir untuk memahami nas-nas mutashabihat.

5. Berikut adalah sebahagian teguran saya:

Di dalam majalah di atas Mohd Nidzam ada menulis:
Dengan dua manhaj ini, insya-Allah kekeliruan akan hilang. Penerimaan terhadap dua manhaj ini akan lebih memberi kematangan ilmu. Toleransi terhadap dua manhaj ini sudah pun menjadi tradisi ulama sebelum kita. Antaranya apa yang tercatat dalam matan akidah Jauharah Tauhid berbunyi:
وَكُـلُّ نَصٍّ أَوْهَمَ التَّـشْـبِيـهَا أَوِّلْـهُ أَوْ فَـوِّضْ وَرُمْ تَنْزِيـهَا
“Dan setiap nas yang memberi waham akan tasybih. Takwilkan ia atau serahkan (kepada zahir) dan carilah akan tanzih
. Intaha.

Di sini Mohd Nidzam telah menterjemah kalimah فوِّض dengan“serahkan (kepada zahir)”. Ini terjemahan yang janggal ke atasmatn Jawharatit-Tawhid. Beliau telah menterjemah matan tersebut tanpa merujuk kepada huraian para ulama seperti al-Shaykh Ibrahim ibn Muhammad al-Bayjuri dan al-Shaykh ^Ali ibn Muhammad al-Tamimi al-Safaqasi. Bahkan, terjemahan sebegini menyerupai huraian golongan Mushabbihah Mujassimah Wahhabiyyah dalam berinteraksi dengan nusus mutashabihat dan bukannya menurut pegangan ulama salaf.

Sebagai perbandingan terjemahan Mohd Nidzam dengan huraian yang benar, maka di sini saya membentangkan huraian matn Jawharatut-Tawhid oleh al-Shaykh Ibrahim al-Bayjuri dan al-Shaykh ^Ali ibn Muhammad al-Tamimi al-Safaqasi.

a) Al-Shaykh Ibrahim al-Bayjuri berkata dalam kitabnya Tuhfatul-Murid ^ala Jawharatit-Tawhid:
وقوله (أو فوّض) أى بعد التأويل الإجمالي الذي هو صرف اللفظ عن ظاهره, فبعد هذا التأويل فوّض المراد من النصّ الموهم إليه تعالى على طريقة السلف: وهم من كانوا قبل الخمسمائة, وقيل: القرون الثلاثة الصحابة والتابعون وأتباع التابعين
Maksudnya: “kata beliau [penulis] (atau serahkanlah) iaitu selepas takwil ijmali [takwil secara ringkas] yang ia mengalih lafaz dari [makna] zahirnya. Selepas takwil [ijmali] ini maka serahkanlah maksud nas yang diwahamkan itu kepada Allah taala menurut jalan [ulama] al-Salaf; iaitu mereka yang ada sebelum lima ratus tahun [selepas kewafatan Nabi Muhammad], dan ada pendapat [tempohnya sebelum] tiga ratus tahun [selepas kewafatan baginda] iaitu para sahabat, para tabi^in dan pengikut tabi^in”. Intaha.

Seterusnya, beliau berkata lagi:
وقوله (ورُم تنزيها) أي واقصد تنزيها له تعالى عما لا يليق به مع تفويض علم المعنى المراد, فظهر مما قررناه اتفاق السلف والخلف على التأويل الإجمالي لأنهم يصرفون النص الموهم عن ظاهره المحال عليه تعالى لكنهم اختلفوا بعد ذلك في تعيين المراد من ذلك النص وعدم التعيين بناء على الوقف على قوله تعالى (والراسخون في العلم) فيكون معطوفًا على لفظ الجلالة, وعلى هذا فنظم الآية هكذا (وما يعلم تأويله إلا الله والراسخون في العلم) وجملة (يقولون ءامنا به) حينئذ مستأنفة لبيان سبب التماس التأويل, أو على قوله (وما يعلم تأويله إلا الله) وعلى هذا فقوله (والراسخون في العلم ...الخ) استئناف
Maksudnya: “Dan kata beliau [pengarang] (dan maksudkanlah tanzih [pensucian]) iaitu dan maksudkanlah tanzih [pensucian] bagi Allah taala dari perkara yang tidak layak bagi-Nya beserta penyerahan ilmu tentang makna yang dimaksudkan. Maka telah nyata daripada perkara yang kami telah tetapkan ialah kesepakatan [para ulama] al-Salaf dan al-Khalaf di atas takwil ijmali [takwil secara ringkas] kerana mereka mengalih nas yang diwahamkan dari [makna] zahirnya yang mustahil ke atas Allah taala, namun mereka berselisih selepas itu dalam penentuan maksud dari nas tersebut dan tanpa penetuan lantaran terbina di atas waqf [1] di atas firman Allah:(والراسخون في العلم) , maka ia [iaitu lafaz al-rasikhun] menjadi ma^tuf kepada lafzul-jalalah. Berdasar [waqf] ini, maka ayat susunan ayat tersebut begini: (وما يعلم تأويله إلا الله والراسخون في العلم), dan frasa (يقولون ءامنا به) ketika itu adalah frasa musta’nafah [frasa permulaan] bagi penerangan sebab tuntutan takwil. Atau [waqf] di atas firman Allah: (وما يعلم تأويله إلا الله) dan berdasarkan [waqf] ini maka firman-Nya: (والراسخون في العلم ...الخ) suatu isti’naf [permulaan frasa baru]”. Intaha.

b) Al-Shaykh ^Ali ibn Muhammad al-Tamimi al-Safaqasi berkata dalam kitabnya Taqribul-Ba^id ila Jawharatit-Tawhid:
(وكلّ نصّ) من كتاب أو سنّة (أوهَم) باعتبار ظاهر دلالته، أي أوقع في الوهم (التشبيها) له تعالى بالحوادث، المستحيل على من ثبت مخالَفتُه للحوادث في ذاته وفي صفاته، فيجب تنزيه الباري تعالى عن ذلك الظاهر المستحيل عقلاً وشرعاً، ولذا قال: (أوِّله)، أي اصرفه عن ظاهره وجوباً
Maksudnya: “(dan setiap nas) daripada kitab [al-Quran] atau Sunnah (yang membayangkan [zat Allah]) dengan sebab mengambil kira zahir pendalilannya; iaitu berlakunya dalam khayalan (aqidah tashbih) kepada Allah taala dengan perkara-perkara baharu [makhluk] yang mustahil ke atas [Allah] yang thabit sifat keberlainan-Nya dengan perkara-perkara baharu [makhluk] pada zat-Nya dan pada sifat-sifat-Nya, maka wajib mentanzihkan [mensucikan Allah] al-Bari’ taala dari [makna] yang zahir yang mustahil itu secara dalil akal dan dan dalil syarak. Oleh itu, [pengarang] berkata: (takwilkannya) iaitu wajib alihkannya dari [makna] zahirnya.” Intaha.

Kemudian beliau berkata:
(أو) أوّله إجمالا لا تفصيلا، و(فوّض) الأمر في المراد منها تفصيلا إلى الله العليم الحكيم. وهذا مذهب السلف وهو أسلم لسلامته من التجاسر على تأويل المتشابه الذي لا يعلم تأويله إلا الله
Maksudnya: “(atau) takwilkannya secara ijmali [secara ringkas] yang bukan terperinci, dan (serahkan) urusan maksudnya [nas-nas mutashabihat] secara terperinci kepada Allah yang maha mengetahui lagi maha bijaksana. Dan ini mazhab al-Salaf dan ia lebih sejahtera kerana kesejahteraannya dari menceroboh takwil [nas] mutashabih yang tidak siapa mengetahui takwilnya melainkan Allah”. Intaha.

Selanjutnya, beliau berkata:
وقال الشيخ الأشعري: هي أسماء لصفات لائقة معجوز عن تكييفها، لكن مع الإجماع على إحالة الظاهر المستحيل شرعا وعقلا كما يعلم مما سبق، ولذا قال الناظم رحمه الله: (وَرُمْ)، أي أقصُدْ (تنزيها) له جلّ وعلا عن ما لا يليق بكبريائه تعالى
Maksudnya: “Dan al-Shaykh al-Ash^ari berkata: “Ia nama-nama bagi sifat-sifat yang layak yang lemah untuk membagaimanakannya, tetapi bersama ijmak di atas memindahkan [makna] zahir yang mustahil secara dalil syarak dan akal seperti yang diketahui dari perkara yang terdahulu. Oleh itu, penyusun [manzumah ini] rahimahuLlah berkata: (kehendakkanlah) iaitu maksudkanlah (tanzih [pensucian]) bagi-Nya jall wa ^ala dari perkara yang tidak layak dengan kebesaran-Nya taala”. Intaha.

c) Menurut terjemahan kitab Syarah Bagi Matan Jawharati-Tawhid oleh salah seorang ulama Melayu, matan tersebut diterjemahkan dengan katanya:
“Yakni tiap-tiap lafaz nas [al-]Quran yang amat tinggi atau hadith yang member iham pada kita di dalam zahirnya bagi hak Allah ta^ala maka dalamnya itu dua mazhab. Maka mazhab khalaf itu katanya engkau takwilkan akan dia dengan takwil yang patut bagi hak Allah ta^ala (dan) kata mazhab salaf itu engkau tafwidkan akan dia kepada Allah ^azza wa jall halnya, qasadkan me[n]sucikan Allah ^azza wa jall daripada makna yang zahirnya itu mustahil bagi Allah ta^ala. Dan iaitu ittifaq dua mazhab dalam takwilkan yang ijmak serta me[n]sucikan akan Allah ^azza wa jall daripada zahirnya nas. Dan ikhtilaf dua mazhab itu dalam takwilkan yang tafsil…”. Intaha.

d) Al-^Alim al-^Allamah al-Fahhamah al-Shaykh Zaynul-^Abidin ibn Muhammad al-Fatani yang masyhur dengan gelaran Tuan Minal Fatoni telah menterjemah matan tersebut dalam kitabnya ^Aqidatun-Najindengan katanya:
“Ertinya; dan tiap-tiap nas [al-]Quran atau hadith yang memberi waham ia akan tashbih Allah itu dengan baharu takwil olehmu atau serahkan olehmu akan pengetahuan itu kepada Allah dan qasad olehmu akan suci Alla ta^ala daripada menyerupai dengan segala yang baharu…”. Intaha.

Bahkan, sebelum terjemahan tersebut Tuan Minal turut menjelaskan hukum berpegang dengan zahir nusus mutashabihat dengan katanya:
“(Dan) telah lalu sebut orang yang berpegang dengan zahir segala ayat mutashabihat atau segala hadith mutashabihat itu jadi kafir. Maka sekarang hamba hendak menyebutkan jalan takwil demikin itu zahir atas dua mazhab, maka kedua[-dua]nya itu sebenarnya. Maka barangmana salah satu daripada kedua[-dua]nya apabila kita taqlid lepaslah kita daripada sesat…”. Intaha.

Oleh itu, maka huraian tiga orang tokoh di atas dapat disimpulkan bahawa:
1) Tafwid nas-nas mutashabihat bermaksud menyerahkan maknanya kepada Allah dengan makna yang layak dengan kebesaran-Nya. Inilah yang diistilahkan sebagai ta’wil ijmali.
2) Wajib mentanzihkan Allah dari makna zahir setiap nas mutashabihat menurut dalil syarak dan dalil akal.
3) Berpegang dengan zahir nas-nas mutashabihat membawa kepada menyandar sifat-sifat mustahil bagi Allah taala. Menyandarkan sifat mustahil kepada Allah adalah suatu kekufuran.

Oleh itu, para pembaca sekalian diminta berhati-hati ketika mendengar kata-kata Mohd Nidzam terutama dalam persoalan aqidah.

Kepada Mohd. Nidzam pula, saya memohon maaf sekiranya teguran secara terbuka ini menyebabkan anda tidak berasa senang dengannya. Ingatlah, teguran ini dibuat semata-mata ingin menjaga kesucian aqidah umat Islam dan bukan bertujuan untuk memburuk-buruk anda. Bahkan, ini sebagai peringatan kepada para pembaca dan pendengar kata-kata anda.

Sekiranya teguran saya ini mengandungi kesilapan fakta atau kekeliruan atau salah faham, sila buat teguran. Sekian. WaLlahu a^lam…

_______________________________

[1] Waqf dalam ilmu tajwid bermaksud menghentikan suara atau bacaan dengan mengambil nafas baru dengan niat untuk meneruskan bacaan.

0 comments:

Post a Comment