Thursday, June 11, 2009

Sunnah RasuluLlah Adalah Berguru

Zaman sekarang ini ada orang kata, belajar ilmu agama tak payah berguru. Baca je buku dan kitab-kitab agama. Ataupun yang lebih hebat lagi - nak jadik pakar agama cukuplah baca kitab hadith sahih - Bukhari dan Muslim dan juga kitab sunan yang lain.

Saya terfikir - jika kita semak kembali sirah RasuluLlah. RasuluLlah dahulu belajar agama dengan bukukah? Para sahabat pula adakah ditarbiyah oleh buku atau RasuluLlah dalam perkara aqidah, syariat dan akhlak?

Sedangkan RasuluLlah diajar oleh malaikat mengenai Islam, Iman dan Ehsan dan pelbagai lagi. Penulisan hadith pun hanya dibenarkan oleh RasuluLlah apabila sahabat sudah dapat membezakan di antara wahyu (al Quran) dengan sabdaan (hadith RasuluLlah). Para sahabat, selepas kewafatan RasuluLlah belajar pula dengan saidatina Aisyah. Begitu juga dengan para sahabat yang tidak menguasai ilmu agama, mereka akan merujuk kepada para sahabat yang lebih mahir. Bukan dengan buku!.

Ini boleh dibuktikan sebagaimana yang diterangkan oleh Dr Said Ramadhan al Buthi melalui penjelasan dari kitab beliau iaitu : Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syariiata Al Islamiyyah
Dari kalangan sahabat Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam, mereka yang tampil memberikan fatwa dapat dihitung jumlahnya. Mereka dikenal mempunyai kemampuan dalam hukum fiqh, riwayat, dan kemampuan istinbath (mengeluarkan hukum). Yang paling mahsyur di kalangan mereka ialah para Khulafa'ur Rasyidin (Abu Bakar, 'Umar, Uthman dan Ali bin Abi Talib radiyaLlahu 'anhum), AbduLlah bin Mas'ud RadiyaLlahu 'anhu, Abu Musa al Asy'ari radiyaLlahu 'anhu, Mu'az bin Jabal radiyaLlahu 'anhu, Ubay bin Ka'ab radiyaLlahu 'anhu dan Zaid bin Tsabit radiyaLLahu 'anhu. Ada pun yang taqlid kepada mereka dalam mazhab dan fatwa, tidak terhitung jumlahnya.
Oh, di sini barulah jelas, bahawa umat Islam di zaman RasuluLlah dan para sahabat sendiri tidak akan memandai-mandai dalam perkara hukum. Tetapi mereka akan merujuk dan berguru kepada RasuluLlah dan para sahabat yang lebih pakar.

Bukan apa.. sebenarnya RasuluLlah dah beritahu awal-awal pada kita :

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi persoalannya di sini apakah yang hendak ditajdidkan? Bagi saya, tajdidkan dahulu ilmu, akhlak dan kefahaman. Kalau tidak, jadilah kita ini sombong dengan ilmu. Memandai-mandai dalam perkara agama dan akhirnya menjadi agen perosak kepada Islam itu sendiri.

Buku, kitab agama pula sebagai panduan hanya selepas mempelajari tentang asas-asasnya dan lebih mendalam dari guru ataupun sebagai kajian.

ALlah sahaja Yang Maha Tahu

Tuesday, June 9, 2009

Benci Dengan Guru?

Betul, terkadang ada juga bibit-bibit benci yang terpendam dalam hati kepada guru. Apatah lagi ada guru yang melebihkan orang lain, ada jugak lebihkan pelajar pandai dari yang tidak pandai.

Ada juga guru yang garang bukan main, pernah kepala kita diketuknya (apa ingat ayah kita tak bayar fitrah ke?). Dan macam-macam lagi.

Walaubagaimanapun, ini pandangan saya :

Bersangka baiklah dengan guru, kita benci mereka. Sedangkan mereka telah memberikan kita ilmu yang tidak ternilai harganya. Maafkan sahaja jika mereka terkhilaf.

Susah sekarang hendak mendapat barokah dalam hidup bila semuanya hendak dibenci tanpa menggunakan fikiran yang rasional. Cubalah pelan2 letak perkataan SABAR dalam hati. Satu hari nanti kita akan menjadi guru (samada guru secara formal atau tidak), akan menjadi ayah dan ibu (dengan izin ALlah). Nanti tahulah sendiri boleh atau tidak menempati posisi tersebut. Atau dendam yang berpanjangan yang tertancap dalam hati.

Hantaran Tinggi?

Hantaran tinggi lagi. Bahasa kasarnya - macam hendak menjual anak pula.

Ada juga yang menjadikan hantaran tinggi sebagai satu nilai tambah untuk mengkormesialkan diri.

Jawapan saya :


bab hantaran nih - kena ada toleransi antara kedua belah pihak samada sebelah lelaki atau sebelah perempuan. Bagi si wanita (biasanya keluarga sebelah wanita yang menentukan harga hantaran) bolehlah pujuk2 ibu dan ayah jangan terlalu tinggi letak harga.

Perkara hantaran ini bukan kecil anak, terkadang dibawa-bawa walaupun anak dah 2,3 orang. Boleh jadi bahan ungkitan, boleh jadi juga hutang keliling pinggang dan akhirnya membawa kepada penceraian. Na'uzubiLlah.

Hantaran yang diletak tinggi-tinggi (jika mengikut kemampuan) tidak perlu pula ditunjuk-tunjuk pada orang lain. Karang timbul pulak dengki dan permusuhan. Sonang cerito - berpada-padalah letak hantaran. Hantaran tuh bukan wajib. Yang wajib adalah MAS KAHWIN.

Perkahwinan bukan cerita untuk sehari dua.. semua inginkan perkahwinan sehingga sampai dipisahkan dari alam dunia dan bertemu lagi di akhirat.

ALlah sahaja Yang Maha Tahu

Ibu Suka Membebel

Jika ada orang yang bertanya, mengapa ibu suka membebel. Rasa bosan, marah, tension bila dengar bebelan ibu.

Ini jawapan saya :

Ibu lahirkan kita, ibu menyusukan kita, ibu memakaikan kita lampin, cebokkan kita buang air kecil dan besar, ibu yang mendodoikan kita, memandikan, merasa susah hati melihat anaknya sakit. Ibu yang menjaga kita masa kecil siang dan malam tanpa mengeluh. Jika tidak tentulah dia merasa susah dan tertekan.

ibu menyiapkan sarapan, menyudukan makanan, ibu yang menggendong kita, ibu yang mengajar bercakap, menyebut, ibu yang sentiasa senyum memerhatikan diri kita yang semakin besar,

Dan kita pula sehingga besar panjang kini. Hanya perlu patuh pada arahannya (selagi tidak melanggar syariat ALlah). Dan dia perlu membebel agar anaknya tahu apa yang perlu dibuat dan apa yang perlu ditinggalkan.

Andailah ibu kita mendiamkan diri sahaja, bebaslah diri untuk berbuat apa sahaja tanpa peringatan. Nak basuh baju kena ada caranya, nak memasak ada caranya, nak jaga adik ada caranya, seolah-olah ibu hendak lihat kita ini sibuk dengan kerja agar masa yang terluang diisikan dengan perkara yang bermanfaat.

Kita lihat sahaja anak-anak zaman yang dikatakan serba kemajuan ini - di mana mereka letakkan ibu dan ayah mereka?

Satu hari nanti,- cuba tanya mengapa ibu mendiamkan diri?

Satu hari nanti, - cuba tanya - mengapa sudah tidak dapat lagi mendengar kata-kata ibu?

Bebelan ibu itu satu keharmonian dalam hidup. Letakkan perkataan SABAR dan SYUKUR (sekurang-kurangnya kita masih ada ibu...)

ALlah sahaja Yang Maha Tahu

Wednesday, April 8, 2009

Duduk Diam Dapat Duit

Ada satu pemikiran baru stail orang yang malas. Iaitu dengan membuat iklan ditulis cantik-cantik Program Ukhuwah (contoh sahaja). Kemudian disolek sedikit dengan ayat al Quran dan hadith.

Selepas itu, diletak dinyatakan tujuan untuk menolong satu dengan yang lain. Tolong bagi derma atau sedekah (bagi derma sebenarnya untuk siapa? sedekah untuk siapa?). Perkataan halus pun mula berjalan iaitu apalah sangat duit RM10 untuk saling tolong menolong - cara menipu yang halus dan biasanya berjaya mempengaruhi orang yang malas hendak berfikir, atau sememangnya mengharapkan bulan jatuh ke riba, atau pun tujuannya baik cuma tidak kena pada tempatnya untuk menolong.

Akhir sekali ditunjuk testimoni makcik sekian, pakcik sekian, pemuda ini, wanita itu yang dalam kesusahan (biasanya mereka letak orang susah-susah, berhutang) tiba-tiba lihat di ATM ada ratusan ribu dalam bank. Ada lafaz syukur, dan teruskan hidup seperti biasa - bermalas-malasan untuk mendapat duit lagi dalam ATM. Fotostat lagi banyak-banyak untuk di hantar di surau, masjid, R&R dan sebagainya.

Semua orang boleh cakap tidak semua berperangai seperti di atas. Tetapi apa akan jadi jika aktiviti di atas di jadikan satu 'habit' dalam seluruh negara? Alamat - ramailah manusia yang memang pemalas mencari rezeki walaupun kudrat yang ALlah beri dah cukup lumayan untuk bekerja.

Jika susah benar, minta di baitul mal, pusat zakat, paling kurang bekerjalah walaupun mencuci pinggan. Pendek kata selagi ada asa (kemampuan) usaha itu wajib, selagi ada alternatif usahalah untuk mencari rezeki yang halal. Orang yang tinggi motivasinya - tentu tidak akan bermudah-mudah menyerahkan nasib pada sekeping kertas dan mengharapkan ia dibalas dengan wang kertas yang bertimbun.

Dr Yusof al Qardhawi dalam kitab Halal dan Haram dalam Islam menyebutkan dalam hujjahnya :

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:

"Orang yang minta-minta padahal tidak begitu memerlukan, sama halnya dengan orang yang memungut bara api."
(Riwayat Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya)

Dan sabdanya pula:

"Barangsiapa meminta-minta pada orang lain untuk menambah kekayaan hartanya tanpa sesuatu yang menghajatkan, maka berarti dia menampar mukanya sampai hari kiamat, dan batu dari neraka yang membara itu dimakannya. Oleh karena itu siapa yang mau, persedikitlah dan siapa yang mau berbanyaklah."
(Riwayat Tarmizi)

Makcik yang bersihkan lantai tiap hari lebih mulia dari orang yang seperti ini.

Tajdid atau Tafsid?

Zaman ini ada orang ingin tajdid katanya. Kadang-kadang saya pun tak faham apa yang hendak ditajdidnya. Pembaharuan dalam agama apa yang hendak dibawa. Kalau kata hendak install kembali agama kepada pemahaman salafussoleh tak juga.

Sebab yang dibawa hanya perkara yang sudah dibincangkan dan diselesaikan oleh para ulamak muktabar dari dahulu lagi. Kemudian dibongkar kembali dan bukan pencerahan yang dilakukan. Tetapi kekeruhan yang dilambakkan sehinggalah berlaku pertikaian dan porak peranda.

Akhirnya yang ada adalah kepeningan akal, kerosakan hubungan sesamai insani, ramai yang nak jadi ulamak segera - macam mee segera jugak. Contohnya :

Ada si polan (gantinama pada orang yang tidak perlu disebut namanya) kata hendak mengeluarkan hukum cukup dengan belajar dari internet tengok hadith sahih bukhari dan muslim. Mudah bukan?

Lalu saya pun berfikir dalam kepala : Jika semudah itu mengeluarkan hukum cukup dengan baca hadith dalam internet. Betulkah dalam internet ini tiada penipuan? Siapa pula yang mensyarahkan hadith tersebut? Guna akal sendiri? Tidak perlukah pada penguasaan bahasa Arab?

Bukankah Imam Syafie pun ada meninggalkan hadith sahih. Kerana dalam hadith sahih pun ada nasikh dan mansukhnya? Contoh :

1. RasuluLLah bersabda yang bermaksud :

Batal puasa yang membekam dan yang dibekam (hadith sahih riwayat Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah)

2. Hadith lagi satu yang sahih pula, berkata Ibnu Abbas : Bahawasanya Nabi berbekam pada ketika beliau sedang ihram dan sedang puasa (hadith riwayat Bukhari).

Imam Syafie telah mengambil hadith yang kedua yang memansukhkan hadith pertama. Ini dijadikan hujjah untuk membolehkan berbekam semasa berpuasa. (di dalam Mazhab Syafie hukum berbekam adalah makruh)


Tajdid yang perlu dibawa sekarang ini adalah kesatuan umat Islam. Pemahaman kembali agama sebagaimana yang difahami oleh salafussoleh. Tetapi kenalah tahu juga salafussoleh bukan sahaja terdiri dari RasuluLlah, para sahabat, tetapi termasuklah juga tabi'ien, tabi'ut tabien serta mereka yang mengikuti mereka itu dari semasa ke semasa.

Mengajak umat Islam kembali kepada aqidah sebagaimana yang diajar oleh salafussoleh seperti aliran asya'irah al maturidiyyah.

Dan semoga slogan TAJDID tidak disalahgunakan, bahkan menjadikan ia satu kegilaan. Bukan tajdid yang baik dan positif yang terhasil, tetapi tafsid yang merosakkan agama pula yang dapat.

Monday, March 23, 2009

Cinta kepada harta ertinya bakhil; cinta kepada perempuan ertinya alam; cinta kepada diri ertinya bijaksana; cinta kepada mati ertinya hidup; dan cinta kepada Tuhan ertinya taqwa. (Hukama)
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya,
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya. (Pantun Melayu)
Manusia tidak mampu merubah bentuk mukanya, tetapi kalau dia mahu, dia mampu mempercantikkan budinya (Hamka)
Bahawa orang yang beriman tidak keluar daripada mulutnya kata-kata yang keji (Hamka)
Jangan dipandang orang yang berkata, tetapi pandanglah kata-katanya, kerana hidup manusia dan fikiran manusia serta pendapat murni mereka merupakan tafsir daripada firman suci Tuhan semata-mata (Ahli sufi)
Bahawa lidah (kata-kata) yang lepas dan hati yang tertutup penuh dengan kelalaian dan keinginan yang rendah-rendah adalah alamat kemalangan yang besar. (Imam al Ghazali)

Syair Syauqi Bey :


Peliharalah untuk dirimu sendiri,
Sebutan yang baik,
Sebab sebutan yang baik itu,
Adalah umur yang kedua bagi manusia.
Kata-kata yang keluar dari hati, akan masuk ke dalam hati. Tetapi kata-kata yang cuma keluar dari lidah, tidaklah akan sampai ke hati, hanyalah sehingga kulit telinga (Pujangga Amir Abu Qais)
Berhati-hati apabila mengungkapkan kata, walaupun sedang duduk seorang diri. Kerana tidak ada kata yang lepas dari pandangan Tuhan (Hamka).