Monday, July 26, 2010

RESPON ARTIKEL FITNAH KETUA PEMUDA PUM : kUMPULAN DAKWAH DIANGGAP BERDOSA, UMNO BAGAIMANA

Saya mengikuti Seminar Pemikiran 2, Anjuran Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan bertindak juga sebagai pembentang pada hari kedua. Seminar sebenarnya berjaya menghuraikan hujah-hujah secara akademik terhadap isu-isu yang menjadi fitnah kepada Ahlussunnah wal jamaah dan cabaran yang sedang dihadapi tanpa menyentuh mana-mana parti politik di atas sifatnya akademik. 

Malangnya ada komen yang bertentangan dengan fakta seminar dikeluarkan oleh Harakah Online, pada 24 Julai 2010. Saya secara peribadi kecewa kerana akhbar ini mengeluarkan artikel yang berbau 'fitnah' oleh penulisnya (bukan penulis Harakah). Semoga Harakah sebagai akhbar Parti Islam, lebih berhati-hati menyiarkan di atas sifat 'fatabayyanu', apatah lagi penyokong PAS berada pada kedua-dua aliran. Kalau tidak ada sifat ini, apa beza Harakah dengan akhbar lain? 

Pada saya, ini adalah satu tindakan terancang pihak Wahhabi untuk mengaitkan mana-mana seminar dengan nama Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz dengan mana-mana usaha menentang ekstremis dan wahhabi untuk menjadikan orang-orang PAS marah. Pernah nama Ustaz Hj Hadi dilibatkan sekali oleh golongan Wahhabi, apabila nama pemimpin mereka disebut sebagai mempunyai 'link' dengan ekstremisme. Setelah saya periksa dengan pihak pembentang, tidak ada pun nama Ustaz Hadi disebut dalam taklimat tersebut. 

Semoga anak muda ini lebih adil apabila membuat sesuatu komentar. Menggunakan nama PUM dan lulusan UM agak mencemarkan nama dua institusi tersebut kerana penulis telah membuat banyak fitnah yang besar kepada program tersebut.

Lihat komen saya di bawah:

Kumpulan dakwah dianggap berdosa, Umno bagaimana 
Mohd Dzul Khairi 

Tahniah kepada Jabatan Akidah Universiti Malaya yang telah berjaya mengadakan Seminar Pemikiran Islam baru-baru ini. Bagaimana pun, saya memiliki pandangan tersendiri dalam bab ini. Saya ingin mengucapkan tahniah terlebih dahulu kepada guru saya, Prof Madya Kamil Abd Majid, Dr Khalif Muammar, Dr Fauzi Zakaria dan Dr Lokman atas pembentangan yang menarik.

Saya merumuskan pandangan saya dalam bentuk sebegini:
1. Tiada guna untuk mengambil sikap suka menyalahkan pandangan orang lain. Golongan ekstremis kalangan Asya’irah suka mengkafirkan kumpulan ‘wahhabiyyah’ dan begitulah sebaliknya. Ia langsung tidak membina ummah bahkan merosakkan perpaduan sesama umat Islam.
(Dr Asmadi: Satu fitnah yang besar apabila tidak ada satu pun tuduhan takfir dalam seminar tersebut. Ahli panel hanya mengemukakan bagaimana golongan Wahhabi tersebut menyamakan ahlussunnah aliran Asyairah setara dengan musyrikin Makkah, dan bagaimana mereka juga dikatakan lebih buruk dari Yahudi! Pembentang-pembentang menjawab tuduhan-tuduhan Wahhabi terhadap Ahlussunnah. Bahkan ada juga pembentang mengkritik aliran Ashairah yang melampau dan menggunakan cara pihak lawan yang melampau kerana menggunakan takfir pada sesetengah ulama).

2. Pemikiran sebegini sudah mula menular kalangan anak muda yang masih terlalu cetek ilmu. Lalu, apabila mereka mempelajari sebuah dua kitab, mereka terus berani mengkafirkan ulama-ulama besar termasuklah Tuan Guru Nik Aziz. Pemikiran dan budaya mereka bukan sahaja tidak membangun bahkan meruntuhkan Islam. Mereka sangat suka mengkafirkan al-Qaradawi yang sudah terlalu banyak berjasa kepada umat Islam sedangkan mereka masih teraba-raba dalam kegelapan.
(Dr Asmadi: Ini juga satu fitnah. Tidak ada sepatahpun nama Tuan Guru Nik Aziz dicerca apatah lagi mengkafirkannya dan mengkafirkan al-Qardhawi disebut dalam seminar tersebut. Bahkan seorang pembentang menyeru supaya TG Nik Aziz tidak sepatutnya ditolak pandangannya).

3. Kumpulan anak muda ini sangat gemar untuk menuduh dan menyerang kumpulan dakwah. Hanya ada satu dua silap kumpulan dakwah namun tuduhan mereka sangat besar seolah-olah kumpulan dakwah telah melakukan satu dosa yang teramat besar. Namun yang menariknya, mereka tidak berani pula untuk menyatakan apakah status Umno pada pandangan mereka.
(Dr Asmadi: Membuat satu penyataan umum serangan terhadap kumpulan dakwah. Pembentang hanya menyatakan kelemahan sesetengah badan dakwah yang tidak menentu akidahnya. Tidak adapun tuduhan terhadap parti politik termasuk parti Pas atau Umno).

4. Seminar ini akhirnya tidak membawa impak yang sangat besar kepada perkembangan dan keutuhan akidah di Malaysia. Ia tidak lebih ingin mempertahankan akidah Asya’irah dan menuduh kumpulan selain mereka, tetapi mereka tidak membincangkan bagaimana untuk menyelamatkan akidah anak muda Malaysia sekarang. Lalu seorang Imam menggelengkan kepala apabila mengikuti seminar ini kerana beliau tidak mampu membawa sesuatu yang sangat bermakna kepada masyarakat.
(Dr Asmadi: Satu persepsi yang melihat semua usaha orang lain adalah negatif. Tetapi bila pihak yang lain, (mungkin penulis adalah pendokongnya), penulis tidak pernah membuat ulasan ini)

Saya tidak memusuhi seminar tersebut, jauh sama sekali. Ada beberapa pembentangan sangat menarik seperti mana nama-nama pembentang yang saya nyatakan. Namun ada beberapa kertas kerja lebih bersikap menghukum dan tidak mendatangkan penyelesaian yang efektif. Mereka lebih suka untuk membincangkan ayat-ayat mutasyabihat yang sudah lama dibincangkan oleh ulama terdahulu. Bagi saya, apa guna memanjangkan perselisihan yang sudah lama berlaku.
(Dr Asmadi: Saya setuju, sepatutnya kita tidak perlu berbicara masalah ini. Namun disebabkan fitnah 'sesat- menyesat' dan bid'ah membid'ah', kita terpaksa memperkatakannya, sebab hujjah kena didatangkan dengan hujjah, jika tidak kesesatan dikatakan kebenaran).

Daripada membincangkan soal Allah, apakah tangan dan wajah Allah, lebih baik kita membincangkan apakah perintah Allah kepada kita. Allah tidak pernah menyuruh kita membincangkan tentang zatnya, sama ada tangan membawa maksud kiasan atau tidak, tetapi Allah menyuruh kita melakukan dakwah, amar makruf dan mencegah kemungkaran, memerangi rasuh dan riba, mengangkat orang beriman sebagai pemimpin dan menyebarkan kesejahteraan kepada ummah.
(Dr Asmadi: Tentang ayat-ayat mutasyabihat tu kena bicangkan juga mana yang betul mana yang tidak, kalau tidak, boleh rosak iman kalau sampai mentajsimkan Allah SWT. Namun, saranan ke arah menegakkan kalimah Allah, memang perlu diteruskan)

Sudah ramai pelajar yang masih muda, hatta yang baru menginjak usia 13 tahun yang bacaan al-Quran masih terangkak-rangkak tetapi sudah berani menghukum ulama termasuk Imam al-Syafie. Apa yang mereka dapat? Populariti? Begitu juga sesetengah kumpulan pondok yang jumud, yang suka mengambil pendekatan menyalahkan ulama yang terlibat dalam politik sedangkan mereka hanya tenggelam dalam dunia pondok dan kejumudan semata-mata.

Begitu juga golongan yang beranggapan mereka aliran al-Quran dan hadis, terlalu suka menuduh dan mendakwa pendekatan mereka terbaik. Akhirnya, budak mat rempit dan penghisap ganja terus berada dalam kegelapan dalam kebutaan orang yang mengaku berilmu agama.

Beberapa golongan mendakwa dakwah nabi bermula dengan akidah. Jadi, lupakan politik dan lain-lain, perkukuhkan akidah. Jika benar ini yang mereka perjuangkan, saya mahu mencadangkan beberapa perkara. Jika benar kalian mahu mengikuti nabi dengan membentuk akidah terlebih dahulu dan melupakan dakwah, maka pedulikan soal arak, judi, riba, bukalah aurat, kerana nabi tidak pernah memperjuangkan perkara tersebut sepanjang berada di Madinah. Saya tergelak apabila seseorang berkata kepada kawan saya, “Ustaz, sekarang ni kena teguhkan akidah dulu, pedulikan soal dakwah”. Anda hukumlah pemikiran ini sendiri.

Kumpulan yang berani mengkafirkan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi ini, mereka hanya berani bercakap sahaja. Jika kita meminta mereka untuk mengkafirkan PM Najib, pasti mereka tidak berani. Kerana PM ada kuasa sedangkan dua orang Tuan Guru tadi tiada kuasa. Namun sekarang seolah-olah Tuan Guru yang memiliki sebahagian pemikiran ‘kaum muda’ kononnya dianggap sangat berdosa jika dibandingkan dengan orang yang menganut aliran sekularisme dan liberalisme.

(Dr Asmadi: Satu lagi fitnah penulis, tidak ada pun 'takfir' terhadap dua tuan guru tersebut, dan tidak disebutpun nama mereka. Kelihatannya, penulis ingin menyeret nama dua tuan guru ini dengan gerakan ekstrimis yang membid'ahkan umat) 

Saya di peringkat Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama akhirnya ingin mencadangkan agar lain kali dibincangkan bagaimana menerapkan akidah yang utuh kalangan Rakyat Malaysia yang terjebak dengan banyak gejala hitam, bukan lagi menyibukkan diri membincangkan tentang zat Allah, Ibn Taymiyah dan Imam Ghazali lagi. Mereka sudah meninggalkan kita dengan jasa yang banyak sedangkan kita belum tentu lagi kedudukan di sisi Allah.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor,
Ketua Syubban Persatuan Ulama Malaysia.


Sumber : Http://drasmadinet.blogspot.com

No comments:

Post a Comment