Thursday, June 11, 2009

Sunnah RasuluLlah Adalah Berguru

Zaman sekarang ini ada orang kata, belajar ilmu agama tak payah berguru. Baca je buku dan kitab-kitab agama. Ataupun yang lebih hebat lagi - nak jadik pakar agama cukuplah baca kitab hadith sahih - Bukhari dan Muslim dan juga kitab sunan yang lain.

Saya terfikir - jika kita semak kembali sirah RasuluLlah. RasuluLlah dahulu belajar agama dengan bukukah? Para sahabat pula adakah ditarbiyah oleh buku atau RasuluLlah dalam perkara aqidah, syariat dan akhlak?

Sedangkan RasuluLlah diajar oleh malaikat mengenai Islam, Iman dan Ehsan dan pelbagai lagi. Penulisan hadith pun hanya dibenarkan oleh RasuluLlah apabila sahabat sudah dapat membezakan di antara wahyu (al Quran) dengan sabdaan (hadith RasuluLlah). Para sahabat, selepas kewafatan RasuluLlah belajar pula dengan saidatina Aisyah. Begitu juga dengan para sahabat yang tidak menguasai ilmu agama, mereka akan merujuk kepada para sahabat yang lebih mahir. Bukan dengan buku!.

Ini boleh dibuktikan sebagaimana yang diterangkan oleh Dr Said Ramadhan al Buthi melalui penjelasan dari kitab beliau iaitu : Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syariiata Al Islamiyyah
Dari kalangan sahabat Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam, mereka yang tampil memberikan fatwa dapat dihitung jumlahnya. Mereka dikenal mempunyai kemampuan dalam hukum fiqh, riwayat, dan kemampuan istinbath (mengeluarkan hukum). Yang paling mahsyur di kalangan mereka ialah para Khulafa'ur Rasyidin (Abu Bakar, 'Umar, Uthman dan Ali bin Abi Talib radiyaLlahu 'anhum), AbduLlah bin Mas'ud RadiyaLlahu 'anhu, Abu Musa al Asy'ari radiyaLlahu 'anhu, Mu'az bin Jabal radiyaLlahu 'anhu, Ubay bin Ka'ab radiyaLlahu 'anhu dan Zaid bin Tsabit radiyaLLahu 'anhu. Ada pun yang taqlid kepada mereka dalam mazhab dan fatwa, tidak terhitung jumlahnya.
Oh, di sini barulah jelas, bahawa umat Islam di zaman RasuluLlah dan para sahabat sendiri tidak akan memandai-mandai dalam perkara hukum. Tetapi mereka akan merujuk dan berguru kepada RasuluLlah dan para sahabat yang lebih pakar.

Bukan apa.. sebenarnya RasuluLlah dah beritahu awal-awal pada kita :

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi persoalannya di sini apakah yang hendak ditajdidkan? Bagi saya, tajdidkan dahulu ilmu, akhlak dan kefahaman. Kalau tidak, jadilah kita ini sombong dengan ilmu. Memandai-mandai dalam perkara agama dan akhirnya menjadi agen perosak kepada Islam itu sendiri.

Buku, kitab agama pula sebagai panduan hanya selepas mempelajari tentang asas-asasnya dan lebih mendalam dari guru ataupun sebagai kajian.

ALlah sahaja Yang Maha Tahu

No comments:

Post a Comment