Wednesday, April 8, 2009

Duduk Diam Dapat Duit

Ada satu pemikiran baru stail orang yang malas. Iaitu dengan membuat iklan ditulis cantik-cantik Program Ukhuwah (contoh sahaja). Kemudian disolek sedikit dengan ayat al Quran dan hadith.

Selepas itu, diletak dinyatakan tujuan untuk menolong satu dengan yang lain. Tolong bagi derma atau sedekah (bagi derma sebenarnya untuk siapa? sedekah untuk siapa?). Perkataan halus pun mula berjalan iaitu apalah sangat duit RM10 untuk saling tolong menolong - cara menipu yang halus dan biasanya berjaya mempengaruhi orang yang malas hendak berfikir, atau sememangnya mengharapkan bulan jatuh ke riba, atau pun tujuannya baik cuma tidak kena pada tempatnya untuk menolong.

Akhir sekali ditunjuk testimoni makcik sekian, pakcik sekian, pemuda ini, wanita itu yang dalam kesusahan (biasanya mereka letak orang susah-susah, berhutang) tiba-tiba lihat di ATM ada ratusan ribu dalam bank. Ada lafaz syukur, dan teruskan hidup seperti biasa - bermalas-malasan untuk mendapat duit lagi dalam ATM. Fotostat lagi banyak-banyak untuk di hantar di surau, masjid, R&R dan sebagainya.

Semua orang boleh cakap tidak semua berperangai seperti di atas. Tetapi apa akan jadi jika aktiviti di atas di jadikan satu 'habit' dalam seluruh negara? Alamat - ramailah manusia yang memang pemalas mencari rezeki walaupun kudrat yang ALlah beri dah cukup lumayan untuk bekerja.

Jika susah benar, minta di baitul mal, pusat zakat, paling kurang bekerjalah walaupun mencuci pinggan. Pendek kata selagi ada asa (kemampuan) usaha itu wajib, selagi ada alternatif usahalah untuk mencari rezeki yang halal. Orang yang tinggi motivasinya - tentu tidak akan bermudah-mudah menyerahkan nasib pada sekeping kertas dan mengharapkan ia dibalas dengan wang kertas yang bertimbun.

Dr Yusof al Qardhawi dalam kitab Halal dan Haram dalam Islam menyebutkan dalam hujjahnya :

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:

"Orang yang minta-minta padahal tidak begitu memerlukan, sama halnya dengan orang yang memungut bara api."
(Riwayat Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya)

Dan sabdanya pula:

"Barangsiapa meminta-minta pada orang lain untuk menambah kekayaan hartanya tanpa sesuatu yang menghajatkan, maka berarti dia menampar mukanya sampai hari kiamat, dan batu dari neraka yang membara itu dimakannya. Oleh karena itu siapa yang mau, persedikitlah dan siapa yang mau berbanyaklah."
(Riwayat Tarmizi)

Makcik yang bersihkan lantai tiap hari lebih mulia dari orang yang seperti ini.

Tajdid atau Tafsid?

Zaman ini ada orang ingin tajdid katanya. Kadang-kadang saya pun tak faham apa yang hendak ditajdidnya. Pembaharuan dalam agama apa yang hendak dibawa. Kalau kata hendak install kembali agama kepada pemahaman salafussoleh tak juga.

Sebab yang dibawa hanya perkara yang sudah dibincangkan dan diselesaikan oleh para ulamak muktabar dari dahulu lagi. Kemudian dibongkar kembali dan bukan pencerahan yang dilakukan. Tetapi kekeruhan yang dilambakkan sehinggalah berlaku pertikaian dan porak peranda.

Akhirnya yang ada adalah kepeningan akal, kerosakan hubungan sesamai insani, ramai yang nak jadi ulamak segera - macam mee segera jugak. Contohnya :

Ada si polan (gantinama pada orang yang tidak perlu disebut namanya) kata hendak mengeluarkan hukum cukup dengan belajar dari internet tengok hadith sahih bukhari dan muslim. Mudah bukan?

Lalu saya pun berfikir dalam kepala : Jika semudah itu mengeluarkan hukum cukup dengan baca hadith dalam internet. Betulkah dalam internet ini tiada penipuan? Siapa pula yang mensyarahkan hadith tersebut? Guna akal sendiri? Tidak perlukah pada penguasaan bahasa Arab?

Bukankah Imam Syafie pun ada meninggalkan hadith sahih. Kerana dalam hadith sahih pun ada nasikh dan mansukhnya? Contoh :

1. RasuluLLah bersabda yang bermaksud :

Batal puasa yang membekam dan yang dibekam (hadith sahih riwayat Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah)

2. Hadith lagi satu yang sahih pula, berkata Ibnu Abbas : Bahawasanya Nabi berbekam pada ketika beliau sedang ihram dan sedang puasa (hadith riwayat Bukhari).

Imam Syafie telah mengambil hadith yang kedua yang memansukhkan hadith pertama. Ini dijadikan hujjah untuk membolehkan berbekam semasa berpuasa. (di dalam Mazhab Syafie hukum berbekam adalah makruh)


Tajdid yang perlu dibawa sekarang ini adalah kesatuan umat Islam. Pemahaman kembali agama sebagaimana yang difahami oleh salafussoleh. Tetapi kenalah tahu juga salafussoleh bukan sahaja terdiri dari RasuluLlah, para sahabat, tetapi termasuklah juga tabi'ien, tabi'ut tabien serta mereka yang mengikuti mereka itu dari semasa ke semasa.

Mengajak umat Islam kembali kepada aqidah sebagaimana yang diajar oleh salafussoleh seperti aliran asya'irah al maturidiyyah.

Dan semoga slogan TAJDID tidak disalahgunakan, bahkan menjadikan ia satu kegilaan. Bukan tajdid yang baik dan positif yang terhasil, tetapi tafsid yang merosakkan agama pula yang dapat.